SUNGAI PETANI: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merancang untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjadikan buku Somalia Belang Harimau Besi sebagai sebahagian silibus pelajaran di sekolah.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi, DBP Abd Halim Harun, berkata ini berikutan buku itu sangat sesuai untuk menerapkan semangat patriotik dikalangan pelajar dengan kisah benar mengenai pejuangan dan kehebatan tentera Malaysia menghadapi pertempuran di Somalia pada tahun 1993.

"Kita mungkin akan berbincang lanjut dengan bahagian ko-kurikulum KPM sebab Dewan Bahasa (berada) di bawah KPM, jadi agak mudah untuk kita bincang lebih lanjut supaya perkara ini boleh kita usulkan untuk diangkat menjadi sebahagain daripada silibus itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Buku Belang Harimau Besi oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, pada Jumaat.

Buku itu ditulis oleh Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid berdasarkan pengalaman peribadinya ketika bertugas di Somalia bersama-sama rakan seperjuangannya, pasukan MALBATT 1 sehingga berjaya dalam misi mereka.

Mengulas lanjut, Abd Halim berkata untuk permulaan DBP telah mencetak sebanyak 1,000 naskah buku berkenaan.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak Perpustakaan Negara untuk mempromosi buku berkenaan agar ia boleh didapati di rak-rak buku perpustakaan awam dan perpustakaan sekolah di seluruh negara.

"Kalau boleh kita nak menggalakkan lebih ramai lagi yang terlibat dalam tentera bukan setakat darat, laut dan udara supaya datang bekerjasama dengan DBP," ujarnya.

Sementara itu, Mejar Jeneral Mohd Halim, berharap agar buku itu menjadi bahan bacaan wajib di sekolah.

Katanya, beliau mengambil masa lebih setahun untuk menyiapkan manuskrip buku berkenaan iaitu sejak 2018 dengan mengumpulkan maklumat yang tepat daripada rakan-rakan seperjuangan termasuk kajian-kajian lain.

"Saya harap buku ini dapat disebar luaskan kepada lain-lain supaya mereka dapat menjiwai dan menghargai negara kita yang aman ini.

"Kalau dia tak hargai pahlawan-pahlawan yang ada tu, tidak mengapa tetapi dia dapat menjiwai supaya dia menghargai keamanan dan kemakmuran yang ada ini dan terus dipertahankan dengan buku ini," katanya lagi.

Buku ini diterbitkan memaparkan peranan dan sumbangan besar tentera Malaysia dalam usaha untuk menyelamatkan renjer Amerika Syarikat daripada kematian seperti dalam filem Black Hawk Down.

Bagaimanapun, filem itu tidak tepat memaparkan keperwiraan renjer negara dalam ikhtiar untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di Somalia.

Pada hakikatnya, lebih daripada 100 orang tentera Malaysia, daripada Batalion Malaysia Pertama (MALBATT 1), bertarung nyawa untuk menyelamatkan rakan mereka daripada Amerika Syarikat.

Seorang daripada perajurit negara terkorban dalam usaha mengeluarkan tentera Amerika yang terperangkap di Bakara.