Skip to main content

Politik

PRN Johor, N. Sembilan - BN gerak seluruh jentera parti, fokus kemenangan - Zambry

JOHOR BAHRU, 7 Jun -- Presiden Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (depan tengah) bersama Majlis Tertinggi BN menyanyikan lagu parti pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, di Stadium Tertutup Kompleks Educity hari ini.  Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (depan empat, kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (depan empat, kiri).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Barisan Nasional (BN) akan menggerakkan seluruh jentera parti bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, demi memperkukuhkan lagi kedudukan gabungan itu dalam landskap politik negara. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) akan menggerakkan seluruh jentera parti bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, demi memperkukuhkan lagi kedudukan gabungan itu dalam landskap politik negara.

Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Agung Tahunan BN yang berlangsung di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, pada Sabtu, yang turut menzahirkan iltizam kepimpinan parti untuk memperkukuh kesatuan serta kestabilan politik.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam kenyataan tersebut berkata, fokus utama ketika ini adalah memastikan kesiapsiagaan jentera di kedua-dua negeri bagi menghadapi PRN akan datang.

“Seluruh jentera parti akan digerakkan secara menyeluruh bagi memastikan kemenangan, selain memperkukuh kerjasama antara parti komponen serta rakan strategik BN,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Zambry berkata, BN juga memuktamadkan pendirian untuk bertanding menggunakan logo dacing dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Dalam masa sama, mesyuarat turut bersetuju memperkenalkan keahlian langsung BN (BN Direct Membership) sebagai usaha menarik penyertaan golongan profesional, anak muda dan masyarakat umum.

Langkah itu, katanya, dilihat mampu memperluas sokongan serta memperkukuh struktur organisasi BN dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Selaini itu Zambry berkata, BN komited untuk terus mendukung Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, demi memastikan kestabilan politik negara serta meningkatkan keyakinan pelabur.

“Kesepakatan ini penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara konsisten dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.

Beliau turut menekankan bahawa kerjasama erat antara parti komponen BN dan “Friends of BN” akan terus dipertingkatkan sebagai asas kekuatan gabungan itu menjelang pilihan raya akan datang.

Must Watch Video

Advertisement