KEMAMAN: Sembilan pelajar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman pada Isnin atas pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada tiga rakan mereka di asrama sebuah sekolah di daerah itu pada 23 Ogos lepas.

Kesemua tertuduh yang berusia 16 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyebabkan kecederaan dengan menumbuk dan menyepak ketiga-tiga mangsa yang berusia 15 tahun di asrama sekolah itu pada jam 11.30 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun dan denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azahani Azman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Akmal Wahidah Abd Halim.

BACA: 11 remaja ditahan, disyaki terlibat kes buli di asrama

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan antara RM2,000 hingga RM5,500 setiap pelajar dan menetapkan 12 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan tiga pelajar asrama di sebuah sekolah menengah di daerah Kemaman cedera dipukul selepas mengadu pelajar senior memiliki rokok elektronik.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata kejadian itu menyebabkan mangsa berusia 15 tahun mengalami kecederaan pada gegendang telinga dan lebam di bahagian badan.

Manakala dua lagi rakannya berusia hanya cedera ringan.