IPOH: Pelajar lelaki Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Gunung Rapat dekat sini yang dipercayai menjadi mangsa buli senior Tingkatan Lima, mengalami kecederaan pada bahagian kiri muka.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata mangsa yang berusia 15 tahun itu telah mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) susulan mengalami kecederaan tisu lembut selepas dipukul pelajar senior terbabit.

“Sehingga kini, polis telah merakamkan percakapan tiga orang saksi iaitu pengetua sekolah dan pelajar lain untuk membantu siasatan kes ini.

“Kertas siasatan kes di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (dengan sengaja menyebabkan cedera) itu akan dilengkapkan dalam masa terdekat dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, kata Yahaya, pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada ibu mangsa yang mendakwa anaknya telah dibuli oleh seorang pelajar berusia 17 tahun di asrama sekolah berkenaan.

Katanya berdasarkan siasatan awal, kejadian buli berkenaan telah berlaku beberapa kali.

“Mangsa berasal dari Kuala Lumpur, manakala pelajar yang membuli mangsa telah dikenal pasti berasal dari Ipoh.

“Pelajar senior terbabit masih bersekolah namun telah diarahkan pihak sekolah supaya tidak menetap di asrama sementara menunggu siasatan dalaman pihak sekolah,” katanya lagi.

Media  siang tadi melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah mengesahkan berlaku kejadian buli membabitkan dua pelajar lelaki di sebuah sekolah di Gunung Rapat pada Isnin lalu.

Katanya kejadian berkenaan melibatkan mangsa iaitu pelajar Tingkatan Tiga dengan pelajar Tingkatan Lima yang mana kedua-dua mereka merupakan atlet sepak takraw.

Menurutnya berdasarkan maklumat awal, mangsa telah ditendang dan dipijak oleh pelajar senior terbabit sehingga mendatangkan kecederaan.