Bunga kayu yang diperbuat daripada pelbagai jenis pokok menjadi hiasan pilihan masyarakat India sempena Deepavali.

Peniaga bunga kayu di Little India, Brickfields, S. Sangeetha, 24, berkata bunga itu menjadi pilihan kerana ia unik dan tahan lama berbanding bunga yang diperbuat daripada plastik.

"Kami menjual bunga kayu hanya pada perayaan Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri.

"Sememangnya masyarakat India begitu menyukainya kerana ia cantik, mudah dijaga dan tahan sehingga empat ke lima tahun," katanya kepada Bernama di sini, pada Selasa.

Sangeetha yang menjalankan perniagaan itu bersama keluarga sejak enam tahun lalu berkata beliau mendapatkan bekalan untuk membuat hiasan itu dari luar negara.

"Sejambak bunga kayu dijual pada harga RM50 hingga RM80, bergantung kepada saiz. Walaupun memakan masa untuk menghasilkannya, namun ia berbaloi dengan permintaan yang tinggi," katanya.

M. Nashaa, 29, dari Melaka berkata beliau menyukai bunga kayu dan sering membelinya untuk hiasan rumah dan dihadiahkan kepada rakan.

"Ia (bunga kayu) berwarna-warni dan pelbagai bentuk, harganya juga berpatutan, sesuai untuk hiasan rumah dan hadiah pada rakan-rakan yang juga sukakannya," katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama di sekitar Little India mendapati orang ramai mengambil peluang membeli-belah di kawasan itu yang menawarkan diskaun menarik menjelang sambutan Deepavali esok.

Seorang pelancong dari Nigeria Abaez, 35, berkata beliau turut mengambil kesempatan membeli kurta iaitu pakaian tradisional lelaki India yang dijual pada harga murah.

"Penjual memberitahu saya mereka akan membuat jualan murah dengan harga lebih rendah pada malam Deepavali. Jadi saya mengambil peluang ini untuk membeli baju kegemaran saya (kurta)," katanya.