Skip to main content

Dunia

Bekas Presiden AS hadir hormati Jesse Jackson di Chicago

Former President speaks during the Public Homegoing Service for the Rev. Jesse Jackson at the House of Hope in Chicago, Friday, March 6, 2026. (AP Photo/Nam Y. Huh)
Bekas Presiden Joe Biden, Barack Obama, dan Bill Clinton masing-masing menyampaikan ucapan penuh penghargaan terhadap perjuangan panjang Jackson. - Foto REUTERS

CHICAGO: Ribuan hadirin, termasuk tiga bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) serta tokoh-tokoh ternama dari dunia politik, hiburan dan aktivisme, berkumpul di Chicago untuk memberikan penghormatan kepada tokoh hak sivil tersohor, Reverend Jesse Jackson, yang meninggal dunia bulan lalu pada usia 84 tahun.

Upacara peringatan besar itu berlangsung di House of Hope, sebuah dewan berkapasiti 10,000 orang di South Side Chicago, dan menjadi acara penghormatan paling utama kepada warisan perjuangan Jackson.

Advertisement

Bekas Presiden Joe Biden, Barack Obama, dan Bill Clinton masing-masing menyampaikan ucapan penuh penghargaan terhadap perjuangan panjang Jackson dalam memperjuangkan keadilan sosial, hak mengundi dan kesamarataan kaum.    

Dalam ucapannya, Obama memberikan sindiran halus terhadap Presiden Donald Trump.

“Setiap hari kita bangun dengan satu lagi serangan baharu ke atas institusi demokrasi kita… perkara-perkara yang kita tidak sangka akan berlaku,” katanya.

Obama juga menyifatkan Jackson sebagai inspirasi untuk memilih “laluan yang lebih sukar” dan menyeru semua orang untuk menjadi pembawa perubahan.

Clinton pula menyatakan bahawa Jackson “menjadikannya presiden yang lebih baik,” kerana memahami bahawa perubahan sebenar bermula dari masyarakat ke institusi.

Bekas Naib Presiden Kamala Harris menerima tepukan gemuruh ketika mengambil tempat untuk berucap.

Beliau turut dilihat menyindir Trump.

“Saya sudah menjangka banyak perkara yang berlaku sekarang… saya benci untuk mengatakan ‘saya sudah kata’, tetapi kita sudah menjangkanya,” ujar beliau.

Harris menyifatkan Jackson sebagai seorang yang “tidak sabar menunggu perubahan” dan sentiasa mencari jalan walaupun pintu di hadapannya “dikunci dan dipaku.”

Turut hadir ialah bekas Setiausaha Negara Hillary Clinton, bekas Wanita Pertama Jill Biden, pembikin filem Tyler Perry, legenda NBA Isiah Thomas, dan penyanyi serta pelakon pemenang Oscar Jennifer Hudson, yang turut membuat persembahan.

Aktivis hak sivil terkenal Reverend Al Sharpton, rakan seperjuangan Jackson sejak era gerakan hak sivil 1960-an, juga menyampaikan ucapan penuh emosi.  

Jesse Jackson merupakan antara tokoh penting era hak sivil AS, pernah bekerja rapat dengan Martin Luther King Jr, dua kali bertanding sebagai calon presiden Demokrat, dan mengasaskan Rainbow PUSH Coalition, sebuah organisasi yang memperjuangkan keadilan sosial serta ekonomi.

Bagi Obama, Jackson membuka jalan kepada generasi baharu pemimpin kulit hitam, termasuk dirinya.

Upacara peringatan ini bukan sekadar penghormatan kepada seorang tokoh bersejarah, tetapi juga satu seruan untuk meneruskan perjuangan yang beliau tinggalkan, sebuah perjuangan menuntut kesamarataan, maruah dan masa depan yang lebih adil.

 

Must Watch Video