NEW YORK: Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani berkata, Amerika Syarikat (AS) dan Israel telah sengaja menyasarkan infrastruktur awam, manakala Iran hanya menyasarkan tapak ketenteraan, bukan orang awam.
Pada Jumaat (6 Mac), Iravani berkata, sekurang-kurangnya 1,332 orang awam Iran telah terkorban setakat ini dalam konflik dengan Israel dan Amerika Syarikat dan beribu-ribu lagi telah cedera.
Advertisement
Bercakap kepada wartawan di PBB di sini, Iravani menegaskan, AS dan Israel dengan sengaja menyerang infrastruktur awam, manakala Iran hanya menyasarkan sasaran ketenteraan dan bukan orang awam.
Iravani turut berkata, Iran tidak menyasarkan kepentingan negara jiran dan sedang menyiasat dakwaan bahawa ia telah menyerang lokasi bukan ketenteraan.
“Penilaian awal kami menunjukkan bahawa beberapa insiden ini mungkin berpunca daripada pemintasan atau gangguan oleh sistem pertahanan Amerika Syarikat, yang boleh mengalihkan serangan daripada sasaran ketenteraan asal,” katanya.
Presiden AS Donald Trump menuntut “penyerahan tanpa syarat” Iran pada hari Jumaat dan berkata, pemimpin agung baharu Iran mesti ‘boleh diterima’, selepas Ayatollah Ali Khamenei terbunuh pada hari pertama perang.
Trump memberitahu Reuters dalam satu temu bual pada Khamis bahawa beliau mesti mempunyai kata putus dalam pemilihan itu.
Iravani menyifatkan kenyataan Trump itu sebagai “pelanggaran jelas terhadap prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara, seperti yang termaktub dalam Piagam PBB.”
“Pemilihan kepimpinan Iran akan dilakukan sepenuhnya mengikut prosedur Perlembagaan kami dan hanya berdasarkan kehendak rakyat Iran, tanpa campur tangan asing,” tambahnya.
Beberapa jam selepas kenyataan Trump itu, Presiden Iran mengumumkan bahawa negara-negara tertentu telah memulakan usaha pengantaraan, salah satu petanda awal adanya inisiatif diplomatik untuk menamatkan konflik.
Dua pegawai AS memberitahu Reuters bahawa penyiasat Amerika percaya bahawa kemungkinan besar pasukan AS bertanggungjawab terhadap serangan yang mengenai sebuah sekolah perempuan Iran pada Sabtu, yang membunuh ramai kanak-kanak, namun mereka masih belum membuat kesimpulan muktamad. - Agensi