MALAYSIA
Bunuh bapa kandung, Mahkamah Rayuan perintah lelaki bela diri

Mahkamah turut memerintahkan agar Phang direman di sebuah fasiliti yang sesuai sementara menunggu perbicaraan disambung. - Gambar hiasan/Bernama
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan seorang lelaki berusia 54 tahun daripada pertuduhan membunuh bapanya dengan alasan tidak siuman, dan memerintahkan agar lelaki itu dipanggil untuk membela diri.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah memutuskan Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila membebaskan Phang Kar Foong pada akhir kes pendakwaan dengan alasan dia tidak siuman, tanpa terlebih dahulu memerintahkannya untuk membela diri.
"Oleh itu, perintah pembebasan itu diketepikan dan kes ini dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk responden (Phang) membela diri di hadapan hakim yang sama," katanya.
Mahkamah turut memerintahkan agar Phang direman di sebuah fasiliti yang sesuai sementara menunggu perbicaraan disambung.Panel Mahkamah Rayuan itu turut dianggotai Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Noorin Badaruddin. Keputusan dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Phang, yang membantu bapanya menguruskan sebuah kedai runcit didakwa membunuh Pang Ket Tai, 75, di sebuah rumah di Jalan Besar, Kampung Baru Gunung Rapat, Ipoh, Perak antara 10.30 pagi hingga 6.30 petang 12 Sept 2020.
Berdasarkan laporan psikiatri oleh seorang pakar psikiatri forensik dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Phang didiagnosis menghidap gangguan bipolar dengan ciri-ciri psikosis. Laporan itu turut menyatakan semasa dalam rawatan, dia telah mencederakan kedua-dua matanya sendiri dan menjalani pembedahan mata. Akibat kecederaan itu, penglihatannya telah terjejas pada kedua-dua belah mata.
Pada 30 Sept 2024, Mahkamah Tinggi membebaskan Phang tanpa mengarahkannya membela diri atas pertuduhan membunuh dan kemudiannya memerintahkannya ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak, atas budi bicara Sultan Perak mengikut Seksyen 348(2) Kanun Prosedur Jenayah.
Semasa prosiding di Mahkamah Rayuan, peguam Gurbachan Singh yang mewakili Phang mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi dan berhujah bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan ketidaksiuman dari segi perubatan mahupun undang-undang mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan menerusi laporan psikiatri berkenaan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail berhujah bahawa keputusan Mahkamah Tinggi adalah pramatang dan tidak konsisten dengan peruntukan serta prinsip undang-undang yang telah termaktub berkaitan pembelaan ketidaksiuman di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dengan merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes PP lwn Mohd Rozani Yahaya, yang kemudiannya telah diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan.
Beliau berkata Mahkamah Persekutuan pada Oktober 2024 dalam kes PP lwn Mohd Rozani Yahaya, memutuskan bahawa membebaskan tertuduh sebelum pembelaan dipanggil adalah sama dengan membebaskan tertuduh sebelum pembelaan ketidaksiuman terbukti dan merupakan satu kesilapan undang-undang yang serius.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami