KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari ini, dengan indeks utama naik 4.36 mata, disokong oleh aktiviti belian di kaunter utiliti dan perkhidmatan kewangan.

Pada rehat tengah hari, Tenaga Nasional menambah 18.0 sen kepada RM11.70, YTL Corporation dan CIMB Group, masing-masing naik 4.0 sen kepada RM2.65 dan RM6.67, menyumbang gabungan 3.19 mata kepada indeks komposit.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.28 peratus kepada 1,559.61 daripada 1,555.25 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.53 mata kepada 1,556.78 dan bergerak antara 1,554.15 dan 1,559.64 sepanjang sesi dagangan pagi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 458 berbanding 455 manakala 472 kaunter tidak berubah, 946 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.56 bilion unit bernilai RM1.17 bilion.

Firma broker, Malacca Securities Sdn Bhd percaya dengan peningkatan semula di Wall Street, pasaran saham Malaysia dapat mengekalkan sentimen positifnya pada sesi hari ini.

"Peniaga akan memberi tumpuan kepada sektor berkaitan komoditi seperti minyak dan gas, perladangan dan emas, dengan harga komoditi tersebut diniagakan tinggi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Selain itu, ia menjangka momentum dalam sektor pembinaan, hartanah dan bahan binaan akan berterusan, berdasarkan jangkaan lebih banyak projek infrastruktur mega akan diumumkan pada tahun ini.

Pada rehat tengah hari, Maybank menambah 3.0 sen kepada RM9.67, Public Bank naik 1.0 sen kepada RM4.19, Petronas Chemical dan IHH Healthcare, masing-masing meningkat 2.0 sen kepada RM6.87 dan RM6.07 manakala CelcomDigi tidak berubah pada RM4.23

Dalam kalangan saham aktif, SBH Marine menambah 4.5 sen kepada 26.5 sen, Niche Capital Emas naik 1.0 sen kepada 15 sen, PUC Bhd tidak berubah pada 5.5 sen manakala Velesto Energy merosot 1.0 sen kepada 27 sen dan KNM Group susut 0.5 sen kepada 8 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 36.89 mata kepada 11,740.07, Indeks FBMT 100 meningkat 37.07 mata kepada 11,375.81, Indeks FBM Emas Shariah menambah 34.55 mata kepada 11,900.65 dan Indeks FBM 70 melonjak 75.05 mata kepada 16,407.12 manakala Indeks FBM ACE merosot 6.83 mata kepada 4,974.76.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.06 mata kepada 185.12, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 65.83 mata kepada 17,305.25 manakala Indeks Perladangan merosot 6.73 mata kepada 7,453.36 dan Indeks Tenaga susut 4.72 mata kepada 962.78.

-- BERNAMA