RAKAN kongsi teknologi Proton, Zhejiang Geely Holding Group (Geely) baru-baru ini mempamerkan pelbagai jenis teknologi inovatif pada Pameran Automobil Beijing 2024.

Antaranya ialah konsep kenderaan utiliti sukan (SUV) perdana berteknologi tinggi, Galaxy Starship, yang menunjukkan komitmen Geely untuk memajukan teknologi automotif.

Galaxy Starship berasaskan Seni Bina Elektrik Geely dan menyepadukan pelbagai teknologi rangkaian kuasa serta memperkayakan pengalaman pengguna dengan kecerdasan buatan (AI) telah disokong oleh FlymeAuto daripada Meizu.

Pintu bersayap yang besar juga terbuka kepada bahagian dalam yang luar biasa dengan tempat duduk pelbagai fungsi, mempamerkan reka bentuk masa depan yang berpotensi untuk reka bentuk dalaman kenderaan

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, walaupun tiada model dipamerkan antara kerjasama Geely dengan Proton, pihaknya tetap merasakan ia merupakan peluang penting untuk mempamerkan model serta teknologi yang boleh disesuaikan pada masa hadapan.



"Rakyat Malaysia dijangka boleh mengalami lebih banyak platform global Geely dan seni bina tenaga baharu yang pintar digabungkan ke dalam model Proton pada masa akan datang, memacu kepada era baharu AI yang komprehensif dalam industri automotif di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain mendapatkan pendapat umum dan mempamerkan arah reka bentuk teknologi dalam pameran ini, ia boleh dimasukkan ke dalam strategi produk Proton untuk menggabungkan ciri-ciri canggih dan meningkatkan prestasi merentas model masa depan.

Media tempatan terpilih juga mendapat peluang untuk melihat dengan lebih dekat model ketiga smart berasaskan SEA, iaitu SUV smart #5 dengan binaan yang kukuh dan tahan lasak.



Dengan ketibaan model smart #3 di Malaysia pada tahun ini, rangkaian tawaran daripada syarikat itu yang merupakan kerjasama antara Geely dan Kumpulan Daimler dijangka meningkat dalam masa terdekat.

Selain menghadiri Pameran Automobil Beijing, media juga dijemput untuk memandu uji pelbagai model Kumpulan Geely dan lawatan ke kemudahan canggih syarikat di Institut Penyelidikan Geely (GRI), Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Powertrain Geely di Teluk Hangzhou.

Sementara itu, pandu uji untuk media juga diadakan di Beijing Goldenport Motor Park dengan model kenderaan elektrik (EV) terbaharu di bawah Kumpulan Geely.

Ini menyerlahkan aplikasi praktikal teknologi seperti powertren Thor dan memberikan pengalaman langsung kepada media terhadap teknologi yang berpotensi diadaptasi oleh EV keluaran Proton masa hadapan. - DagangNews.com