Seorang buruh binaan dipenjara enam bulan dan didenda RM15,100 oleh empat Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencabul lima wanita di kawasan stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) di sekitar ibu kota, bulan lepas.
Warga Bangladesh, Md Romjan Ali, 41, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin, Faezahnoor Hasan, Nurul Izzah Hasan Basri dan Farah Nabihah Muhamad Dan.
Advertisement
Di hadapan Aina Azahra, lelaki itu dijatuhi hukuman penjara tiga minggu dari tarikh dia ditangkap pada 27 April lepas dan didenda RM3,500 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda manakala di hadapan Faezahnoor, dia dipenjara tiga bulan bermula dari tarikh tangkapan dan didenda RM3,000 atau tiga bulan penjara, jika gagal membayar denda.
Nuzul Izzah pula menjatuhi Md Romjan hukuman penjara enam bulan dari tarikh sabitan pada hari ini dan didenda RM3,600 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda manakala di hadapan Farah Nabihah dia didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara, jika gagal membayar denda.
Ini menjadikan hukuman denda keseluruhan yang perlu dibayar tertuduh adalah RM15,100 serta perlu menjalani hukuman penjara selama enam bulan, bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, Md Romjan didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan seorang wanita warga Jerman dan empat wanita tempatan berusia antara 21 dan 28 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di laluan pejalan kaki Stesen LRT Chan Sow Lin, kawasan Stesen MRT Maluri dan di dalam tren dari Stesen MRT Taman Midah ke MRT Muzium Negara antara 10 dan 25 April lepas mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya.
Peguam T. Chandrasegaran yang mewakili tertuduh merayu hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
"Tertuduh sebelum ini bekerja di tapak pembinaan dan menanggung keluarganya di negara asal di Bangladesh. Dia juga telah direman hampir seminggu susulan kejadian ini. Mohon hukuman denda ringan kerana dia benar-benar insaf," katanya.
Sementara itu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh, Nurainizatul Farhana Zainal dan Nur Farhana Mohamad Poad serta Pegawai Pendakwa Insp M. Alli Nangai dan Insp M. Naresh Kumar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.
-- BERNAMA
TAG: mahkamah, cabul, kekerasan jenayah, Bangladesh, LRT, MRT