KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan lebih 600 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga serta isu bekalan global yang dipercayai disebarkan menerusi aktiviti terancang atau Coordinated Inauthentic Behavior (CIB).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kandungan berkenaan dikesan sejak 29 Mac lalu melibatkan pelbagai isu termasuk harga bahan api dan dakwaan tidak sahih berkaitan tol di Selat Hormuz.
Menurut beliau, hasil pemantauan dan siasatan, MCMC mendapati terdapat petunjuk penyebaran kandungan tersebut dilakukan secara tersusun bagi memperluas pengaruh serta mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Daripada pengamatan MCMC dan hasil siasatan yang dijalankan, kita tidak menolak kemungkinan wujud usaha terancang untuk menyebarkan maklumat palsu melalui kaedah Coordinated Inauthentic Behavior ataupun CIB.
“Kebanyakan hantaran ini menggunakan grafik yang sama, dimuat naik dalam tempoh masa hampir serentak dan cuba disebar secara meluas,” kata Fahmi dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi, di sini, pada Rabu.
Fahmi berkata, susulan penemuan itu, sebanyak lima kes telah dan akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan pendakwaan.
Selain itu, lapan kes turut dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan mencecah RM200,000.
Beliau memaklumkan beberapa kes lain masih dalam peringkat siasatan selain menunggu arahan lanjut daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya.
Pihak berkuasa turut meneliti kemungkinan kandungan tersebut sengaja disebarkan bagi mencetuskan spekulasi serta panik awam berhubung situasi ekonomi dan bekalan global.