KUALA LUMPUR: Presiden Olahraga Malaysia (MA) Datuk Karim Ibrahim akan bercuti daripada menerajui badan induk itu berkuat kuasa esok sehingga Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dijadualkan Jun ini.
Karim berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan perlembagaan MA dipinda pada AGM bulan depan, selaras perlembagaan Olahraga Dunia (WA).
Beliau berkata sepanjang tempoh tersebut, tugasnya akan dipangku oleh Timbalan Presiden MA Datuk Wan Hisham Wan Salleh.
“Saya akan bercuti daripada menjalankan tugas dan tidak akan terlibat dalam pengurusan harian serta pembuatan keputusan dalam MA.
“Dalam tempoh ini, saya telah meminta Timbalan Presiden Datuk Wan Hisham dan Majlis MA menjalankan tanggungjawab penuh terhadap pentadbiran dan fungsi eksekutif Persekutuan bagi memastikan kesinambungan, kestabilan dan tadbir urus yang baik,” katanya pada sidang media MA di sini hari ini.
Karim berkata cadangan pindaan perlembagaan itu perlu terlebih dahulu dikemukakan kepada WA sebelum mendapat kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
“Langkah ini diambil dengan penuh keikhlasan dan demi kepentingan MA bagi memastikan penjajaran tadbir urus dengan WA dilaksanakan secara teratur, telus dan mematuhi perlembagaan,” katanya.
Sebelum ini, status Karim sebagai presiden menjadi perhatian susulan penggantungan yang dikenakan terhadapnya pada 2018 oleh badan induk dunia itu, keputusan yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Bagaimanapun, beliau masih dibenarkan bertanding dan berkhidmat dalam Majlis Eksekutif Persatuan Olahraga Asia bagi penggal 2019-2023, walaupun selepas keputusan CAS.
-- BERNAMA