Butir matan palsu: Pemilik syarikat pembekal makanan ditahan SPRM

Suspek wanita berusia lingkungan 50-an ditahan kira-kira jam 8.45 malam pada 27 Oktober lalu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. - SPRM
PUTRAJAYA: Seorang pemilik syarikat pembekal makanan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu.
Ia melibatkan tuntutan bekalan makanan program latihan kemahiran bernilai kira-kira RM450,000.
Perintah reman selama tiga hari bermula Selasa itu dikeluarkan Majestret Izra Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini pada pagi Selasa.
Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 50-an ditahan kira-kira jam 8.45 malam pada 27 Oktober lalu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, di sini.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2018 dengan mengemukakan tuntutan bekalan makanan sebuah program latihan kemahiran kepada agensi kerajaan melalui sebuah yayasan di ibu negara.
“Siasatan awal juga mendapati beberapa nama peserta yang digunakan bagi tuntutan tersebut menafikan terlibat di dalam program latihan kemahiran berkenaan malah bekalan makanan tersebut juga tidak dilaksanakan sebagaimana dalam permohonan,” katanya dalam kenyataan, di sini pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan pemilik syarikat pembekal makanan terbabit, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


