KUALA LUMPUR : Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) akan menjalankan siasatan berhubung nahas pesawat ringan yang berlaku di Jalan Dr Nazrin Shah, Ipoh pada jam 8.10 Isnin malam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, mangsa maut merupakan juruterbang kepada pesawat Piper 28 manakala seorang lagi pembantu juruterbang yang dilaporkan cedera telah dibawa ke hospital Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan lanjut

“Saya dimaklumkan bahawa seorang juruterbang pesawat Piper 28 yang terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Ipoh telah disahkan maut.

“Manakala seorang lagi pembantu juruterbang kini dirawat di hospital akibat kecederaan di bahagian kepala. Takziah kepada keluarga mangsa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

BACA: Jurulatih penerbangan maut, seorang lagi cedera pesawat ringan terhempas di Ipoh

BACA: Identiti mangsa maut, cedera pesawat terhempas di Ipoh sudah dikenal pasti

Mangsa maut dikenali sebagai Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, manakala yang cedera adalah Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, kedua-dua mereka yang masing-masing berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur merupakan jurulatih penerbangan sebuah akademi penerbangan yang beroperasi berhampiran kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo berkata, pesawat yang terlibat dikenal pasti sebagai Piper 28-161 dengan nombor pendaftaran 9M-BAA.

Pesawat berkenaan merupakan kendalian syarikat BATS Aviation Sdn Bhd.