IPOH: Identiti dua mangsa, masing-masing maut dan cedera dalam kejadian pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di sini, malam ini, sudah dikenal pasti.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, yang merupakan juruterbang, manakala yang cedera adalah Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62 (pembantu juruterbang).

Kedua-dua mereka yang masing-masing berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur merupakan jurulatih penerbangan sebuah akademi penerbangan yang beroperasi berhampiran kawasan itu.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata kedua-dua mangsa berjaya dibawa keluar daripada bangkai pesawat pesawat jenis Piper PA 28 oleh pasukan bomba yang tiba tidak lama selepas kejadian.

"Mangsa yang selamat telah dibawa keluar daripada bangkai pesawat oleh pasukan penyelamat kira-kira pada jam 9.25 malam.

"Sementara mangsa yang maut, dibawa keluar sekitar jam 9.35 malam. Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini malam ini.

BACA: Jurulatih penerbangan maut, seorang lagi cedera pesawat ringan terhempas di Ipoh

Mengulas lanjut, katanya punca kejadian masih dalam siasatan.

Sebelum ini, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak dilaporkan berkata, sepasukan anggota dikerah ke tempat kejadian bagi kerja-kerja menyelamat selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.10 malam.

Katanya, setibanya di tempat kejadian didapati terdapat sebuah kapal terbang bersaiz kecil telah terhempas dan kerja menyelamat segera dilakukan.