LAHAD DATU: Sejak tahun lepas, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), berdepan 'cabaran berganda yang luar daripada kebiasaannya' dalam usaha memastikan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) terus terjamin dan terlindung daripada pelbagai ancaman tidak diingini.

Ini kerana, cabaran yang dihadapi ketika ini tidak lagi sekadar mengawal, memantau ataupun menghalang mana-mana kehadiran pendatang tanpa izin mahupun apa sahaja aktiviti haram seperti penyeludupan daripada memasuki perairan negara sepertimana kelaziman pada tahun-tahun sebelumnya.

Akan tetapi, mereka kini perlu menggembleng lebih banyak tenaga mahupun bersekang mata siang dan malam dalam usaha mengekang penyebaran wabak COVID-19 terutama daripada warga asing sejak penularan virus maut itu tahun lepas.

Hakikatnya, ia bukanlah satu tugas yang mudah. Sebagai penguat kuasa keselamatan utama di ESSZone, ESSCom bertanggungjawab menjaga pesisir pantai sepanjang 1,457 kilometer dan kawasan perairan seluas 58,420 kilometer persegi serta kawasan daratan seluas 32,158 kilometer persegi.

Dengan keluasan sebesar itu apatah lagi kedudukannya yang bersempadan dengan maritim Filipina dan Indonesia serta beberapa kawasan di Kalimantan Utara, Indonesia seperti Kampung Kandoangan serta Wilayah Simanggaris yang bersempadan daratan daerah Kalabakan adalah dalam ESSZone, pastinya ia merupakan tugas sukar.

Tambahan pula, faktor sempadan telah dikenal pasti antara punca yang mendorong berlakunya peningkatan kemasukan pendatang negara jiran ke Sabah sekali gus menimbulkan kebimbangan sekiranya kegiatan haram ini terus berlaku akan menyebabkan ia menjadi satu daripada punca penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.


JALAN TIKUS

Dalam polemik ini, tidak dinafikan bahawa pendatang haram dari negara jiran merupakan risiko terbesar dalam memerangi pandemik COVID-19 di ESSZone. Malah, situasi ini telah menimbulkan kebimbangan kerana beberapa kluster kalangan mereka telah tercetus sebelum ini semasa ditahan di Pusat Tahanan Sementara di negeri ini.

Kerana itulah, usaha pemantauan berganda dilakukan anggota keselamatan bagi mengekang kemasukan pendatang haram ini apatah lagi mereka semakin 'licik' mencari peluang untuk menerobos masuk ke negeri ini dengan menggunakan pelbagai taktik serta jalan tikus.

Bentuk muka bumi kawasan sini yang diliputi hutan tebal serta memiliki banyak jalan tikus, menjadi 'lubang' yang sering digunakan mereka (pendatang haram) bagi mengelakkan daripada ditahan pasukan keselamatan, menurut Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman.

"Laluan tikus ini sering digunakan untuk memasuki Sabah. Apabila kami menjaga empat atau lima laluan tikus, mereka akan menggunakan pula laluan tikus lain, tidak kira siang dan malam.

"(Antara sebabnya) Jarak sempadan maritim yang dekat membolehkan pendatang ini menyeludup masuk dalam tempoh 20 hingga 40 minit sahaja," katanya kepada Bernama.

Untuk tahun ini sahaja, dalam tempoh lima bulan, seramai 3,358 pendatang haram dari Filipina dan Indonesia yang telah menjalani hukuman di Sabah, dihantar pulang ke negara asal mereka melalui pelabuhan di Sandakan dan Tawau.

Justeru, bagi mengekang penularan COVID-19 di ESSZone khususnya dalam kalangan pasukan keselamatan, setiap bot pendatang asing tanpa izin yang dikesan memasuki perairan negara akan diusir kembali ke sempadan.

Tindakan ini adalah selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan wujudnya pelbagai kluster daripada pendatang haram yang ditahan di perairan ESSZone sehingga telah menimbulkan kebimbangan kerana turut menjangkiti beberapa anggota pasukan keselamatan negara.

"Awal tahun ini sehingga 23 Mei lalu, 104 buah bot membabitkan 347 pendatang haram dikesan memasuki perairan negara telah diusir ke sempadan.

"Namun, pasukan keselamatan akan menangkap pendatang haram ini sekiranya mereka dikesan berada di kawasan daratan," katanya.


OCP, KERJASAMA RISIKAN

Selain itu, pelbagai operasi telah dilaksanakan di ESSZone dalam menangani jenayah rentas sempadan dan penularan COVID-19 dan ini termasuklah Op Cegah Pati (OCP) di laut dan daratan yang meliputi daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Beluran, Kinabatangan dan juga Sandakan.

Sejak awal tahun sehingga 23 Mei lepas, sebanyak 22,726 pemeriksaan bot OCP Laut telah dilakukan dengan rampasan 47 bot serta penahanan 141 individu.

Bagi OCP Daratan pula, seramai 69 individu telah ditahan selain turut merampas 11 kenderaan hasil daripada pemeriksaan ke atas 141,145 buah kenderaan serta 97,553 individu di kawasan ESSZone.

"ESSCom melaksanakan OCP Laut sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 bagi menghalang kemasukan pendatang haram serta penyeludupan. Pelaksanaan OCP Daratan pula sebagai lapisan kedua keselamatan yang telah berhasil melalui banyak tangkapan dan rampasan," jelasnya.

Dalam melaksanakan kewajipan mengawal perairan negara, ESSCom turut mendapat kerjasama serta menyelaras tanggungjawab tersebut bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Selain pada masa sama turut menjalinkan kerjasama perisikan dengan Pihak Berkuasa Filipina dalam memerangi jenayah rentas sempadan terutamanya yang melibatkan penculikan untuk wang tebusan (KFR) dan kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

Hasil kerjasama ini telah banyak membantu dalam operasi khas yang dijalankan selama ini dan ia termasuklah empat daripada 21 pengganas yang dikehendaki ESSCom bagi tahun 2021 telah berjaya ditembak mati di Selatan Filipina.

Mereka ini terlibat dalam jenayah berkaitan penculikan dan aktiviti jenayah rentas sempadan di ESSZone, kata Ahmad Fuad.


SEL ABU SAYYAF

Sementara itu, ESSCom dan pasukan polis dalam satu operasi khas di Taman Sri Arjuna, Beaufort bulan lepas telah berjaya melumpuhkan sel Abu Sayyaf yang diwujudkan warga Filipina.

Seramai lapan lelaki ahli kumpulan Abu Sayyaf yang berbaiah dengan militan Daesh telah ditangkap dalam operasi tersebut manakala lima lelaki ahli kumpulan itu ditembak mati.

Bagi kes penculikan untuk wang tebusan pula, ESSCom telah berjaya mematahkan dua cubaan KFR sehingga Mei tahun ini (2021) serta mematahkan lima cubaan KFR sepanjang tahun 2020.

Jelas Ahmad Fuad, penculikan untuk wang tebusan dari Selatan Filipina ini juga mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf yang sering menyasarkan komuniti di perairan ESSZone sebagai mangsa mereka.

Justeru, bagi mengekang cubaan pencerobohan di perairan dan daratan ESSZone, sistem keselamatan yang berteknologi tinggi amat diperlukan bagi meningkatkan keupayaan kawalan keselamatan dan antara peralatan yang diperlukan adalah sistem radar terkini dan ini termasuklah binokular serta kamera jarak jauh yang berkeupayaan mengesan, menjejak serta mengenal sasaran setiap cubaan menceroboh, kata Ahmad Fuad.

Beliau yang memulakan tugas sebagai Komander ESSCom pada 4 September tahun lepas, menjelaskan pemasangan radar seumpama itu di setiap lokasi strategik, membolehkan pengawasan lebih efisien dan meluas sekali gus menutup sebarang titik buta yang ada.

Selain itu, operasi maritim di ESSZone juga memerlukan aset seperti aset mobiliti laut (bot peronda) yang mempunyai ketahanan tinggi dan sesuai dengan keadaan ombak kuat serta berkemampuan untuk digunakan bagi operasi 24 jam.

"Aset mobiliti untuk operasi daratan pula, perlu bersesuaian dengan rondaan serta pengawasan kawasan berbukit yang dilitupi hutan tebal.

"Dengan aset pengawasan berkualiti tinggi, (pastinya) akan dapat membantu keberkesanan operasi pasukan keselamatan dalam menangani pelbagai jenayah rentas sempadan," ujarnya yang turut mengharapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi keutamaan kepada proses kelulusan perolehan peralatan baharu yang dimohon ESSCom.

Biarpun begitu, ESSCom akan terus memantau dan melumpuhkan segala kegiatan jenayah rentas sempadan yang sering mengubah modus operandi mereka bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

-- BERNAMA