Bercinta tanpa mengira usia. Begitulah fenomena yang kini menjadi satu tren wanita kini. Wanita berusia berpacaran dengan lelaki muda sudah menjadi satu yang biasa. Keadaan ini digambarkan dengan lebih jelas oleh pasangan selebriti seperti Demi Moore dengan Ashton Kutcher dan Halle Berry bersama Gabriel Aubry. Terbaru ialah kisah cinta antara Linda Hogan, 48 (bekas isteri Hulk Hogan) dengan Charlie Hill yang baru berusia 19 tahun.

Buktinya, satu kajian yang dijalankan oleh satu laman web sosial pada tahun 2007, melibatkan 50,000 orang wanita berusia 30 tahun ke atas. Kajian itu mendapati, satu pertiga daripada responden menunjukkan minat kepada lelaki yang sekurang-kurangnya lima tahun lebih muda daripada mereka.

Pada tahun 2003, kaji selidik AARP (American Association of Retired Persons) mendedahkan, 34 peratus daripada 3,500 wanita berusia antara 40 hingga 69 tahun menjadikan lelaki 10 tahun lebih muda sebagai teman. Mungkin trend ini mengejutkan ramai orang, tetapi tidak kepada pakar psiko terapi dari Amerika, Dr. Tina B. Tessina.

Hujahnya, sudah berlaku peralihan peranan dalam masyarakat. Wanita sekarang dilihat lebih berkuasa dan mahukan lelaki muda serta lebih fleksibel. Maksudnya, lelaki yang memahami kerjaya dan gaya hidup lebih dipentingkan oleh wanita tersebut.

Gambaran yang dipaparkan oleh media seperti siri televisyen Sex and the City dan Desperate Housewives juga menunjukkan bahawa wanita tidak semestinya berkasih dengan lelaki lebih tua. Wanita yang memiliki kerjaya dan imej diri hebat sememangnya mempunyai banyak pilihan. Malah, golongan wanita yang sudah bercerai atau ibu tunggal mungkin gemar mempunyai teman untuk menjadi teman hidup dan tidak mengongkong nya. Persoalannya, bolehkah hubungan seperti ini berjaya?

Sudah jodoh tertulis bahawa anda bersama dengannya, pasti itu adalah jawapan yang biasa di lontarkan oleh kebanyakan masyarakat Malaysia. Tessina mengakui dia sudah melihat banyak hubungan sebegini yang berjaya. Media memberi fokus kepada perbezaan umur. Sedangkan apa yang memusnahkan hubungan ialah sebagus mana pasangan terbabit boleh membentuk kerjasama.

Perbezaan umur ialah satu kebimbangan dalam kalangan orang dewasa. Apabila kita remaja, perbezaan usia walaupun dua atau tiga tahun memberikan kelainan yang ketara dari aspek pengalaman dan bagaimana kita melihat kehidupan. Perbezaan ini boleh bercampur aduk dengan matlamat hidup, komunikasi, pendapat dan pengalaman dalam perhubungan. Bagi orang muda, reaksi sosial terhadap hubungan seperti ini biasanya bersifat negatif. Jika pasangan itu bawah umur, hubungan seksual sudah pun melanggar batas undang-undang. Namun begitu, apabila kita meningkat dewasa, pengalaman hidup dan kematangan emosi membantu menyeimbangkan kemahiran dalam satu-satu perhubungan. Jurang usia 10 tahun atau lebih tidak memberi banyak perbezaan dari segi sebijak mana anda mengendalikan hubungan cinta. Jadi, tidak perlu fokus kepada angka tersebut.

Kadangkala, perbezaan umur mencipta satu bentuk hubungan 'mentor' apabila yang lebih berumur memberi nasihat kepada pasangannya tentang kehidupan atau kerjaya. Apa pun, elemen yang benar-benar membuatkan perhubungan itu berjaya ialah wujudnya hubungan bersifat emosi.