KUALA LUMPUR: Hampir RM1 juta hadiah menanti 350 pemenang melibatkan pendeposit Simpan SSPN Plus dan Simpan SSPN Prime menerusi Kempen Cabutan WOW! 25 Tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dilancarkan pada Isnin.

Kempen yang menjadi simbolik meraikan kejayaan memperkasakan amalan penabungan sempena 25 tahun penubuhan PTPTN itu terdiri daripada tiga kategori, iaitu Cabutan Tahunan Jubli Perak, Cabutan Khas Babyku Simpan dan Cabutan Siri.

Hadiah utama Cabutan Tahunan Jubli Perak kali ini berupa kereta Mercedes-Benz A250 AMG Line termasuk wang tunai RM100,000 bagi hadiah kedua dan RM50,000 untuk hadiah ketiga.

Selain itu, 22 pemenang juga berpeluang memenangi hadiah saguhati berupa motosikal Honda Dash 125 selain RM250,000 menanti 250 pemenang bagi Hadiah Cabutan Khas Babyku Simpan serta RM200,000 menanti 75 pemenang untuk kategori Cabutan Siri.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kempen berkenaan diteruskan pihaknya bagi terus memupuk budaya penabungan di negara ini selain mampu berdaya saing setanding produk simpanan lain di pasaran.

“Usaha murni PTPTN dalam memupuk budaya penabungan di negara ini telah bermula pada tahun 2004 dengan pelancaran produk simpanan Simpan SSPN.

“Kini, menginjak hampir dua dekad di pasaran, produk ini terus berada di landasan kukuh sebagai produk simpanan yang berdaya saing dan setanding dengan produk simpanan lain di pasaran,” jelasnya,” katanya pada Majlis Pelancaran Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN di Menara PTPTN di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT), Mohd Asri Omar; Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Komersial Takaful Ikhlas Family Berhad (TIFB), Mohd Jafni Abdul Jalil dan Ketua Jabatan Korporat Takaful Great Eastern Takaful Berhad (GETB), Norazlin Mohd Dahari.

Dalam pada itu, tambah Wan Saiful, tempoh promosi Cabutan Tahunan Jubli Perak dan Cabutan Khas Babyku Simpan bermula pada 1 Januari hingga 31 Disember 2022 manakala Cabutan Siri dari 1 April hingga 31 Disember ini.

Katanya, pendeposit hanya perlu membuat simpanan bersih serendah RM50 dalam tempoh promosi untuk melayakkan mendapat cabutan.

Sementara itu, pada majlis sama turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2021 dan Kempen Stay Safe & Win SSPN-i 2021.

Pemenang Utama Gold Bar bernilai RM150,000 Cabutan WOW! Simpan SSPN-i Plus 2021, Khang Tsung Fei. - Foto PTPTN

Khang Tsung Fei, 45, yang juga pemenang utama Gold Bar bernilai RM150,000 bagi Cabutan WOW! Simpan SSPN-i Plus 2021 berkata, beliau mula menyimpan sejak tahun 2020 dan perancangan selepas menerima hadiah ini sudah tentu, akan terus menabung semula ke Simpan SSPN untuk pelaburan.

"Skim Simpanan Simpan SSPN ini merupakan satu skim yang sangat kukuh dan memberikan saya keyakinan bahawa wang yang disimpan sekarang akan mendapat pulangan yang baik pada masa hadapan," katanya.

Bagi pemenang pertama Kempen Stay Safe & Win SSPN-i 2021, A Hardave Singh Gill, 41, beliau tidak menyangka akan membawa pulang kereta Proton X50 dan amat berterima kasih kepada PTPTN untuk penghargaan tersebut.

“Saya mula menyimpan sejak 2014 sehingga hari ini dan amat menggalakkan semua ibu bapa untuk menabung kerana terdapat pelbagai ganjaran lain seperti pelepasan cukai, dividen lumayan dan perlindungan takaful,” ujarnya.

Pemenang Pertama Kempen Stay Safe & Win SSPN-i 2021, A Hardave Singh Gill bersama kereta Proton X50. - Foto Astro AWANI

Untuk rekod, setakat 28 Februari ini, RM11.51 bilion deposit telah diterima daripada para pendeposit dengan 5.29 juta akaun telah dibuka.

Bagi mereka yang ingin melakukan pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN boleh dibuat di www.lovesspn.com atau aplikasi mudah alih myPTPTN.