KUALA LUMPUR: Pengoperasian Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) hibrid memanfaatkan sistem teknologi maklumat dengan memaksimumkan penggunaan sistem e-COVID yang telah dibangunkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pengurusan kes COVID-19 sejak permulaan pandemik ini tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, justeru inisiatif CAC hibrid yang pertama seumpamanya dilaksanakan di CAC Bandar Tun Razak, Cheras akan diperluaskan terutamanya CAC negeri-negeri di luar Lembah Klang agar dapat dimanfaatkan seluruh rakyat. 

"CAC Hibrid ini memanfaatkan sistem teknologi maklumat tanpa mengabaikan perawatan perubatan secara bersemuka yang amat penting dalam penyampaian kesihatan yang efektif.

"Pesakit yang telah disahkan positif COVID-19 akan diminta hadir ke CAC Hibrid ini bagi urusan pendaftaran dan pemeriksaan kesihatan awal secara virtual (maya) dan fizikal oleh petugas kesihatan di sini," kata beliau menerusi hantaran di Facebook rasminya malam tadi.

Beliau berkata setelah diberikan arahan kuarantin di rumah, pesakit akan dipantau di kediaman masing-masing secara telepersidangan video oleh petugas kesihatan yang terlatih.

 
Sumber Facebook DGHisham

Menerusi hantaran itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan beliau berkesempatan mengadakan lawatan kerja ke CAC Bandar Tun Razak petang semalam bagi meninjau sendiri pengoperasian di sebalik tabir CAC hibrid.

Beliau berkata inisiatif ini juga memudahkan petugas kesihatan untuk memantau pesakit dengan lebih dekat seterusnya mengenal pasti dengan lebih pantas pesakit yang memerlukan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan di Lembah Klang seterusnya dapat mengurangkan kes-kes mati ketika dibawa (BID) dalam kalangan pesakit COVID-19.

"Selain daripada memangkin penyampaian perkhidmatan perubatan kepada pesakit COVID-19, pengoperasian CAC Hibrid ini juga memastikan kemudahan akses kepada pesakit-pesakit dari sudut pendaftaran, saringan, pemeriksaan, pemantauan serta pemberian dan penamatan HSO (Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah) ," katanya.

Dr Noor Hisham berkata pengoperasian secara hibrid ini juga dapat mengurangkan bahan buangan klinikal dan menjimatkan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) sekali gus membantu memastikan kelestarian alam sekitar.

"CAC Hibrid ini dapat membantu KKM dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan yang efektif terutamanya apabila berdepan dengan krisis kesihatan awam yang terburuk abad ini...inisiatif CAC Hibrid ini akan sentiasa ditambah baik.

"Saya juga berharap agar inisiatif ini akan dijadikan batu loncatan di masa hadapan terutamanya di dalam pengurusan wabak dan bencana serta pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCDs) seterusnya meneruskan usaha pemodenan sistem kesihatan negara," katanya.

--BERNAMA