Cadangan untuk menggabungkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan memberi manfaat kepada kedua-dua universiti itu.

Naib Canselor UniSZA, Professor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dalam satu kenyataan di sini berkata, penggabungan itu akan membuka lebih ruang kejayaan kepada kedua-dua universiti dan pada masa yang sama ia dijangka dapat mengurangkan kos.

Bagaimanapun, cadangan itu bukan hanya mengenai penjimatan belanjawan atau kos tetapi kebajikan pegawai di kedua-dua universiti itu, yang menjadi isu lebih penting untuk ditangani.

Hassan Basri berkata, beliau dimaklumkan bahawa cadangan penggabungan itu bukan idea baharu dan ia dibincangkan oleh kerajaan terdahulu tetapi mereka mungkin tidak 'berani' untuk melaksanakannya.

"Bagaimanapun, saya yakin kerajaan sekarang telah mengkaji kebaikan dan keburukan penggabungan itu sebelum kerajaan bersetuju untuk meneruskan idea itu," katanya.

Sebuah portal berita pada Khamis melaporkan bahawa UMT dan UniSZA mungkin digabungkan sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan bagi institusi pembelajaran tinggi dan keputusan muktamad mengenai penggabungan itu dijangka dapat diketahui tidak lama lagi.

-- BERNAMA