KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk mewujudkan perjanjian baharu dan menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi perjanjian asas kepada pembentukan negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya mengubah perjanjian yang telah pun dipersetujui.

Tegas beliau, sebarang pandangan yang mencadangkan agar diwujudkan perjanjian baharu disifatkan sebagai terpesong dan sangat mengelirukan.

"Perjanjian Malaysia 1963 dengan izin is a “sacred” and foundation document of the formation of the Federation of Malaysia, yang bermaksud tiada MA63, (maka) tiada Malaysia.

"Apabila Perjanjian Malaysia 1963 diabaikan ianya bermakna membelakangkan Persekutuan Malaysia. Pandangan sebegini sangat mengelirukan jauh  tersasar dan tidak selaras dengan Perlembagaan yang  kita telah luluskan di dewan ini, yang mana Perjanjian Malaysia 1963 kini menjadi sebahagian Perlembagaan Persekutuan.

"MA63 amat penting kerana ia asas untuk membincangkan isu yang dapat memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak. Kita harus memberi tumpuan kepada perkara, sama ada perkara dipersetujui semasa pembentukan Malaysia dipatuhi atau, sama ada hak itu hak masih belum dipenuhi.

"Maka tanggungjawab kita untuk bersama agar ia dilaksanakan dan ini juga ditekankan dalam Artikel 8 Perjanjian Malaysia," katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Ongkili menjawab pertanyaan Datuk Mohd. Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang meminta menyatakan apakah pandangan kerajaan mengenai cadangan oleh beberapa ahli politik termasuklah Ahli Parlimen Keningau berkenaan keperluan perjanjian baharu bagi menggantikan MA63.

Selain itu, beliau bertanyakan apakah implikasinya kepada Wilayah Sabah dan Sarawak sekiranya Perjanjian Malaysia 1963 dibatal dan digantikan dengan sebuah perjanjian baharu.

Sementara itu, Datuk Jeffrey Kitingan (STAR-Keningau) mengakui mengemukakan cadangan agar MA63 digantikan kerana ketika itu beliau berpandangan perjanjian tersebut tidak dihormati dan dilaksanakan.

"Jadi apa guna kalau ada perjanjian jika ia tidak dilaksanakan, dan tidak dihormati. Sebab itu saya mencadangkan pada waktu itu.

"Tetapi kini kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk melaksanakan dan menghormati kandungan dan perjanjian dalam MA63. Maka, apa yang saya cadangkan pada waktu itu tidak lagi relevan," katanya.

Dalam pada itu, Ongkili memaklumkan Jabatan Peguam Negara masih lagi meneliti berhubung isu pemberian khas 40 peratus hasil negeri Sabah dikutip kerajaan Persekutuan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tambah beliau, antara perkara yang sedang dipertimbangkan termasuk berhubung status Sidang Dewan Rakyat pada 1971, yang didakwa melucutkan hak Sabah untuk mendapat 40 peratus secara tidak wajar.