PUTRAJAYA: Cadangan kesesuaian pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) akan diteliti terlebih dahulu dan berkemungkinan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Khas esok, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata kerajaan maklum bahawa sebahagian syarikat telah melaksanakan kaedah kerja hibrid pasca pandemik dengan melaksanakan pengaturan WFH.
Advertisement
“Di pihak kerajaan, kita akan meneliti kesesuaian work from home ini, mungkin akan dibincangkan esok dalam mesyuarat khas.
"Mula-mula kita akan teliti apa keadaan ekonomi dunia. Kita akan teliti dulu angka-angka dan apa tindakan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.
Fahmi berkata demikian bagi mengulas langkah Thailand melaksanakan pengaturan WFH untuk agensi kerajaan dan perusahaan negeri bagi mengurangkan penggunaan tenaga ketika ketegangan geopolitik berlarutan di Asia Barat.
Mengenai Mesyuarat Jemaah Menteri Khas, Fahmi berkata ia diadakan bagi membolehkan tindakan diselaraskan berdasarkan maklumat ekonomi terkini.
Beliau berkata antara perkara yang akan diteliti termasuk perkembangan harga minyak mentah Brent, harga bahan api penerbangan serta beberapa indikator ekonomi lain.
“Dengan maklumat terkini ini, kita akan dapat selaraskan apa tindakan kerajaan, termasuk mengawal dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan akan memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus diberi sokongan memandangkan sektor itu merupakan nadi ekonomi negara, termasuk yang terlibat dalam eksport serta pengeluaran perkhidmatan dan barangan dalam negara.
Fahmi berkata langkah kerajaan termasuk usaha untuk menyokong PMKS juga akan diputuskan selepas mengambil kira keseluruhan keadaan ekonomi dalam negara.
“Kita tidak mahu ambil tindakan tanpa mengetahui kesan tindakan. Kita tidak mahu merencatkan pertumbuhan,” katanya, sambil menegaskan bekalan barangan asas serta bahan api seperti RON95 ketika ini mencukupi dan negara tidak menghadapi sebarang masalah.
Krisis Asia Barat bermula pada 28 Feb apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyerang Iran, menyebabkan Iran bertindak balas dengan menyerang kepentingan AS di rantau itu.
Iran kini turut mewajibkan kapal tangki yang menggunakan Selat Hormuz, laluan utama tenaga global, mendapatkan kelulusan daripada negara itu dan berikrar tidak akan membenarkan kapal tangki AS dan sekutunya melalui laluan berkenaan.
-- BERNAMA