Cadangan penstrukturan semula sistem kesihatan negara 1Care masih berada dalam peringkat cadangan awal.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, sehingga kini, masih belum ada sebarang keputusan muktamad yang dibuat mengenai model sistem kesihatan baru yang akan diguna pakai di negara ini termasuk model pembiayaan kesihatan.

“Tujuan 1Care adalah untuk mengukuhkan sistem kesihatan negara, supaya semua rakyat boleh mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti dan saksama.

“Pelbagai aspek persediaan mengenai 1Care sedang diperincikan dengan mengambilkira cadangan dan input dari pelbagai pihak yang berkepentingan.

“Usaha ini merupakan satu proses yang dinamik dan interaktif.

“Hasil perbincangan perlu diteliti rapi dan jika perlu perubahan akan dibuat dari masa ke semasa,”

Subramaniam menjawab soalan bertulis daripada Ahli Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Mazian Nik Mohamad bahawa adakah kerajaan bercadang untuk meneruskan rancangan untuk mewujudkan 1Care.

Beliau juga memberitahu bahawa perubahan kepada sistem kesihatan negara tidak akan berlaku dalam sekelip mata.

“Ia perlu dirancang dan dilaksanakan secara teliti, agar kita dapat menambah baik sistem kesihatan di negara kita.

“Di samping itu, Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha bagi menambahbaik penyampaian dan kualiti perkhidmatan kesihatan negara ini dengan mengambilkira pelbagai aspek khususnya bagi menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh perkhidmatan kesihatan kini untuk menjamin kesejahteraan rakyat,”