KUALA LUMPUR: Cadangan mewajibkan pembayaran elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri di sektor swasta seperti yang dilaksanakan sektor awam akan dibawa ke Kabinet untuk perbincangan, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia perlu berbincang mengenai kelebihan dan kekurangan dalam memperluaskan pelaksanaan cadangan itu kepada sektor swasta.

"Buat masa ini kerajaan tidak mewajibkan mana-mana syarikat swasta untuk membayar elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri.

"Bagaimanapun kerajaan amat menggalakkan agar syarikat swasta mencontohi kerajaan dalam melaksanakan pembayaran elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa ini kementerian mengambil maklum pelaksanaan cadangan itu adalah tidak sesuai kerana kebanyakan syarikat swasta masih dalam proses pemulihan pasca COVID-19.

Yeoh berkata langkah mewajibkan pembayaran elaun oleh sektor swasta ketika syarikat berada dalam tempoh pemulihan ini juga boleh menyebabkan kekurangan peluang kepada belia menjalani latihan industri.

"Sebagai contoh, berdasarkan data yang saya ada di KBS semasa pandemik COVID-19 pada 2020, 81 orang (pelajar) memohon (untuk latihan industri) tetapi kita hanya boleh terima 19 orang kerana tertakluk kepada kewangan sedia ada.

"Pada 2021, 85 orang memohon untuk buat latihan industri, tetapi disebabkan kekangan kewangan kita hanya boleh terima 47 orang... bermaksud kalau tidak diwajibkan pembayaran (elaun) kemungkinan besar syarikat atau agensi boleh beri peluang kepada semua untuk berlatih (latihan industri)," katanya.

-- BERNAMA