ALOR SETAR:Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berharap kemelut berkaitan caj bekalan air mentah membabitkan kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang dapat diselesaikan menerusi meja rundingan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy bahawa negeri itu tidak akan membayar satu sen kepada Kedah menunjukkan sikap sebenar pemimpin DAP itu selain tidak memberi sebarang hasil positif terhadap kemelut yang dihadapi.

Katanya, jika Ramasamy masih berkeras untuk tidak memenuhi tuntutan yang dibuat Kedah, kerajaan negeri itu sewajarnya tidak mencampuri sebarang urusan yang direncanakan kerajaan negeri Kedah khususnya urusan berkaitan kawasan tadahan air di Ulu Muda.

Sanusi dalam masa sama berharap agar kerajaan Persekutuan dapat menjadi fasilitator atau orang tengah dalam menyelesaikan isu yang dihadapi terutama dalam memenuhi hak yang wajar dituntut oleh negeri Jelapang Padi itu.

"Surat (dari Pulau Pinang) belum (diterima), saya baca respon daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, berunding dululah, jangan tolak mentah-mentah, kalau nak tolak mentah-mentah macam itu, jangan masuk negeri kita ajar kita lebih kurang (macam-macam), Ulu Muda tak boleh buat itu… Ulu Muda tak boleh buat ini.

“Kalau dia (Ramasamy) tahu Ulu Muda boleh jejaskan air ke negeri Pulau Pinang, bukankah itu satu pengakuan bahawa air yang disedut itu berdasar dari Ulu Muda? Itu sifir yang sangat mudah, (mustahil) seorang profesor tak reti,” bidas Sanusi.

BACA: Caj air mentah: Pulau Pinang tidak akan bayar walau satu sen pada Kedah - Ramasamy

Dalam perkembangan sama, beliau turut mencabar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu untuk membuktikan dakwaan bahawa terdapat sebahagian punca air Sungai Muda dikesan mengalir dari Thailand.

"Kalau air itu bersumber dari Thailand suruh dia (Ramasamy) buktikan. Sungai mana yang bersumber dari Thailand? Saya cakap (berkenaan) berkenaan WASIA (Akta Industri Perkhidmatan Air) 2006 (yang hanya) berkuatkuasa di Malaysia.

“Mana-mana pihak yang menyedut air dari mana mana sumber, dia patut buat bayaran, kalau di Kedah (kena bayar) kepada LSANK (Lembaga Sumber Air Negeri Kedah)… dia (Pulau Pinang pun) kena bayar," tegas Sanusi lagi.

Terdahulu, Ramasamy memberitahu, kerajaan negeri Pulau Pinang tetap dengan pendirian tidak akan membayar walau satu sen atau memberi sumbangan kepada Kedah kerana mengambil air mentah dari Sungai Muda.

Tegas Ramasamy, tiada sebab untuk negeri itu membayar atau memberi sumbangan kepada Kedah bagi bekalan air mentah.

Dalam masa sama, Ramasamy berkata, tiada sebarang rundingan akan dilakukan dengan kerajaan negeri Kedah sekiranya hak air Pulau Pinang tidak dihormati.
 
Isu air: Kedah mahukan bayaran, bukan sumbangan - Muhammad Sanusi