Minat bertukang sejak zaman persekolahan membawa pemuda ini ke satu fasa lain dalam kehidupannya.

Kemahirannya itu tanpa dijangka menjadi sumber pendapatan sampingan yang bukan calang-calang pulangannya.

Raziman Azizan, 34 tahun, mula menghasilkan prototaip alat muzik cajon pada tahun 2012 dan sama sekali tidak menyangka ia menarik minat ramai.

Antara cajon yang dihasilkan Raziman mengikut kriteria dan cita rasa pelanggan.

“Sebenarnya saya buat ini sebab minat dalam pertukangan kayu dan secara tiba-tiba ia jadi pendapatan sampingan saya. Banyak buat prototaip dan banyak orang beli. Itu jadi titik tolak dalam pembuatan cajon.

“Sehingga hari ini, saya sudah menghasilkan lebih 20 buah cajon yang kesemuanya direka mengikut cita rasa pelanggan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Antara cajon yang dihasilkan Raziman mengikut kriteria dan cita rasa pelanggan.

Berdiri atas jenama Gigabox, cajon ciptaan Raziman merupakan produk yang terhad dan ‘rare’ sekali gus pembelian yang dibuat pelanggan ternyata amat berbaloi dengan harga antara RM400 sehingga RM800 seunit.

Lebih menarik lagi apabila Raziman hanya mengusahakan pembuatan cajon secara solo tanpa menggaji mana-mana pekerja.

“Saya selesa kerja seorang diri. Bukan tamak, tetapi ia memudahkan saya untuk mengetahui setiap sudut pembuatan saya itu berkualiti.

“Jika ada pelanggan yang datang kembali untuk baiki cajon mereka, saya tahu apa saya perlu buat kerana saya yang mengusahakannya dari awal hingga akhir,” katanya.

Terkini, Raziman tampil dengan cajon berbentuk travel yang mudah untuk dibawa ke mana sahaja dengan berat sekitar 0.85 kilogram berbanding cajon tradisional berbentuk kotak yang memiliki berat sekitar 5 kg.

“Saya dapat idea waktu saya makan piza...jadi saya tengok kotak piza kenapa tidak saya buat kecil macam itu.

“Kebiasaannya yang ada di pasaran saiznya masih lagi besar dan memakan ruang serta sukar untuk penyimpanan,” jelasnya.

Dengan harga hampir RM300, Gigabox travel yang lengkap bertali mudah dibawa, ringan dan boleh dimainkan sambil duduk atau berdiri.

Menyentuh soal pembuatan, kakitangan di sebuah hospital kerajaan itu hanya memilih kayu jenis pine yang diambil sendiri di Kedah agar dia boleh melihat sendiri kualiti kayu berkenaan.

Bergerak secara solo beri kepuasan untuk tetapkan kualiti dan keutuhan cajon yang dihasilkan.

“Kayu penting. Kayu yang sesuai boleh pengaruhi tone sesebuah cajon. Jadi macam kayu pine sesuai kalau buat jadi alat muzik kerana ia sangat membantu dari segi bunyi akustik.

“Selain itu, saiz dalaman dalaman turut memainkan peranan penting untuk menentukan kepaduan tone terutama base.

“Jadi ruang dalaman cajon mainkan peranan, ada sangkut paut dengan jenis kayu dan faktor lain seperti ketebalan tapak (permukaan cajon),” jelasnya.



Raziman turut aktif membuat persembahan dan mengajar kelas muzik cajon.

Dari segi proses pembuatan pula, sesebuah cajon mengambil masa sekitar dua minggu sehingga sebulan sebelum siap sepenuhnya bergantung kepada kriteria pelanggan.

Raziman terlebih dahulu akan melakukan beberapa siri ujian kecil sebelum menghasilkan bingkai kotak kayu cajon bagi menjamin keteguhan strukturnya.

“Selepas itu saya akan cantumkan kayu diikuti dengan proses memotong. Paling rumit adalah kerja-kerja akhir kerana saya nak timbulkan urat kayu.

“Kemudian saya perlu serasikan di mana hendak letakkan snappy wire. Seluruh proses ini memang memakan masa,” jelasnya.