Calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang Datin Paduka Chew Mei Fun mahu memanfaatkan 24 jam sebelum berakhirnya tempoh berkempen untuk bertemu pengundi-pengundi di kawasan itu.

"Strategi saya semasa kempen saat akhir ini ialah untuk bertemu dengan seramai mungkin pengundi Kajang dan cuba untuk memahami masalah mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Khidmat Masyarakat Pusat Daerah Mengundi Orang Kurang Upaya (OKU) di sini, hari ini.

Naib Presiden MCA itu berkata selepas hari penamaan calon pada 11 Mac lepas, beliau telah menghadiri tidak kurang 15 program setiap hari termasuk program lawatan rumah ke rumah dan majlis bersama rakyat untuk bertemu pengundi Kajang.

Bermula seawal 7 pagi, katanya beliau menghadiri setiap majlis yang diatur pengurus jentera parti untuk bertemu pengundi yang kadang-kala berlarutan sehingga lewat tengah malam.

Mengakui jadual berkempennya sangat padat, Chew berkata pengalamannya sebagai Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara banyak membantunya dalam berkempen.

"Walaupun ada sesetengah program saya tidak dapat menghadirinya, namun anggota-anggota jentera saya masih giat membantu saya berkempen," kata Chew.

Beliau juga amat berpuas hati dengan respons penduduk di sini yang boleh menerima BN sepanjang beliau berada di Kajang sejak hampir sebulan lepas.

"Walaupun demikian, BN perlu bekerja keras untuk meraih lebih banyak sokongan daripada penduduk di sini...saya yakin sokongan itu semakin banyak menjelang 23 Mac ini," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Kajang menyaksikan saingan satu lawan satu antara Chew dan calon PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR.

PRK Kajang diadakan selepas penyandangnya Lee Chin Cheh meletakkan jawatan secara mengejut pada 27 Jan lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Mac sebagai tarikh mengundi selain pengundian awal pada 19 Mac.