Dua calon 'orang muda' yang menjadi taruhan Barisan Nasional (BN) Pahang bertekad untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan milik BN di kawasan masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagi calon Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah, 38 tahun, ini adalah satu tanggungjawab yang besar dan memerlukan sokongan semua pihak untuk meneruskan rekod kecemerlangan penyandang terdahulu, Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail.

Ketua Pemuda UMNO Pahang itu berkata, sebagai muka baharu, beliau menganggap ini satu amanah dan tanggungjawab besar untuk dipikul terutamanya bagi meneruskan apa yang sudah dilakukan penyandangnya.

"Namun saya percaya dengan sokongan dan kerjasama daripada ahli parti yang lain gerak kerja kempen akan berjalan dengan baik. Walaupun Parlimen Paya Besar sememangnya kubu kuat BN, namun saya tetap akan berjuang untuk meningkatkan majoriti," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sementara itu, calon baharu untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah, Suhaimi Sulong, 47, berkata, isu Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan projek Lynas di Peindustrian Gebeng, di sini akan menjadi fokus utamanya.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Indera Mahkota itu berkata, penjelasan itu penting untuk memastikan pengundi Beserah tidak terjerat dengan pelbagai isu negatif yang dilemparkan parti pembangkang.

"Selama dua penggal di bawah pembangkang, pengundi perlu memberi peluang kepada BN untuk kembali merampas DUN Beserah. InsyaAllah dengan sokongan semua pihak di dalam BN Indera Mahkota, saya yakin kita mampu merampas kembali DUN ini," katanya.