ALOR GAJAH: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu merebut pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan negeri melalui Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) untuk meneruskan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia sebagai pemangkin semangat untuk mereka melakar kejayaan dalam SPM dan seterusnya menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

"Misalnya di Universiti Islam Melaka (UNIMEL), anak Melaka diberikan insentif RM1,000 dari TAPEM untuk mengurangkan beban mereka melanjutkan pengajian.

"Melalui TAPEM juga kami menyediakan kemudahan pembiayaan untuk mereka yang cemerlang dalam SPM mengikut kriteria dan kaedah tertentu.

Beliau berkata kepada pemberita selepas hadir di Program Motivasi Pecutan Akhir Calon SPM 2023 Parlimen Masjid Tanah di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Masjid Tanah di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu beliau berkata inisiatif penginapan percuma selama setahun dilihat mampu mengurangkan beban pelajar yang melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.

"Setakat ini inisiatif tersebut ditawarkan oleh Universiti Islam Melaka (UNIMEL) dan ia terbuka kepada semua pelajar yang mendaftar di institusi tersebut tanpa mengira latar belakang," katanya.

Tambah beliau inisiatif sebegini juga mampu menjadi platform kepada anak-anak yang tidak mahu menyambung pengajian dalam bidang akademi.

"Kami ada 23 institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Melaka yang menawarkan pelbagai kursus yang menjanjikan masa depan untuk anak-anak ini.

"Jadi saya mahu mereka melanjutkan pelajaran tanpa menjadikan kekangan kewangan sebagai isu kerana seperti di UNIMEL, ada menawarkan kos pengajian rahmah manakala TAPEM pula mempunyai pelbagai insentif buat anak Melaka yang cemerlang dalam pelajaran untuk lanjutkan pelajaran," katanya.

Terdahulu pada majlis tersebut seramai 1,165 pelajar dari 10 sekolah dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah mengikuti program motivasi tersebut.

-- BERNAMA