KUALA NERANG: Harga getah yang tidak menentu mendorong seorang penoreh dari Kampung Musa di sini mengusahakan tanaman cendawan Volvariella atau cendawan jerami sejak lapan tahun lepas dan kini menjadi sumber pendapatan utama.

Ismail Ibrahim, 67, berkata berbanding pendapatan sebagai penoreh getah iaitu sekitar RM1,500 sebulan sebelum ini, dia kini mampu menjana pulangan sehingga RM3,000 sebulan dengan menjual cendawan itu yang turut dikenali sebagai cendawan kelapa sawit.

"Saya mula mengusahakan tanaman cendawan ini pada 2016 di kawasan kebun getah saya untuk mencari sumber pendapatan sampingan disebabkan harga getah tidak menentu pada masa itu.

"Tanaman ini hasilnya boleh dituai dalam tempoh kurang sebulan bermula dengan penyediaan medium tanaman menggunakan tandan kelapa sawit sebagai batas diikuti menabur benih yang dihasilkan sendiri," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Ismail yang muncul Naib Johan Anugerah Inovasi Teknologi Pertanian (Kategori Petani) tahun lepas berkata dia mengambil inisiatif menanam Volvariella selepas diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Daerah Padang Terap pada 2015 sebagai tanaman altenatif bagi menjana pendapatan pekebun kecil getah.

Mampu mengutip hasil sekitar 20 hingga 30 kilogram (kg) setiap hari, Ismail kini mengusahakan tanaman berkenaan di dalam enam khemah dengan keluasan kira-kira 464.5 meter yang boleh mengeluarkan sekurang-kurangnya 180 kg Volvariella bagi satu pusingan tanaman iaitu tiga hingga empat bulan.

"Sekarang saya ada tiga khemah dan disebabkan hasil memberangsangkan, saya bercadang nak luaskan lagi kawasan tanaman untuk tambah pengeluaran setiap musim," katanya yang berhenti menoreh getah sejak 2019.

Ismail turut menganjurkan kursus penanaman cendawan Volvariella di tapak tanaman di Kampung Musa.

"Walaupun harga getah sedang naik, penoreh perlu cuba cari sumber pendapatan sampingan termasuk tanam cendawan Volvariella kerana boleh bantu jika harga getah turun pada masa akan datang," katanya yang banyak menerima bantuan dari segi khidmat nasihat dan peralatan daripada Jabatan Pertanian.

Ismail berkata permintaan cendawan itu sangat memberangsangkan dengan pasaran tertumpu di sekitar Kuala Nerang malah turut mempunyai pelanggan tetap selain mengiklankannya di Facebook.

Menurut Ismail selain digoreng tepung, cendawan Volvariella juga sesuai dimasak sup atau lemak dan dia kini sedang mengorak langkah dengan menghasilkan serunding yang turut mendapat banyak permintaan.

-- BERNAMA