CENTHRA sambut baik pendapat ICJ, gesa Malaysia dan negara anggota PBB bertindak tegas

CENTHRA gesa negara anggota PBB sokong pendapat ICJ, tubuhkan mekanisme pemantauan dan ambil tindakan diplomatik. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) menyambut baik pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menegaskan tanggungjawab Israel terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Palestin, seperti yang diminta oleh Perhimpunan Agung PBB pada Disember 2024.
Ringkasan AI
- CENTHRA menyambut baik pendapat ICJ yang menuntut Israel patuhi undang-undang antarabangsa dan lindungi rakyat Palestin.
- CENTHRA gesa negara anggota PBB sokong pendapat ICJ, tubuhkan mekanisme pemantauan dan ambil tindakan diplomatik.
- CENTHRA kecam penahanan kapal Global Sumud Flotilla oleh Israel, dakwa ia langgar UNCLOS dan Konvensyen Geneva.
CENTHRA menegaskan bahawa semua negara anggota PBB mempunyai tanggungjawab untuk tidak mengiktiraf atau membantu sebarang keadaan yang berpunca daripada pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel.
Walaupun pendapat itu tidak mengikat secara formal, ia membawa kuasa moral dan normatif yang besar serta menetapkan penanda aras global dalam isu Palestin.
Organisasi itu turut menekankan bahawa cabaran utama kini ialah memastikan pendapat ICJ dihormati dan dilaksanakan di tengah-tengah pelanggaran berterusan oleh Israel, termasuk insiden penahanan dan rampasan kapal Global Sumud Flotilla oleh tentera laut Israel pada 1–2 Oktober lalu di perairan antarabangsa, yang menurut CENTHRA melanggar Konvensyen Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan Konvensyen Geneva Keempat.
Sehubungan itu, CENTHRA menyeru kerajaan Malaysia dan negara-negara lain untuk:
1. Menyokong secara rasmi pendapat ICJ sebagai rujukan normatif dasar terhadap Israel;
2. Mendesak penubuhan mekanisme pemantauan PBB bagi memastikan pelaksanaan kewajipan ICJ;
3. Menuntut pertanggungjawaban terhadap mana-mana negara yang membantu pelanggaran undang-undang antarabangsa;
4. Mendesak pembebasan segera aktivis dan sukarelawan Global Sumud Flotilla;
5. Menggerakkan tindakan undang-undang dan diplomatik di peringkat antarabangsa; serta
6. Menilai semula hubungan dengan negara yang bersekongkol dengan pelanggaran undang-undang Israel.
CENTHRA menutup kenyataan dengan menegaskan bahawa dunia kini sedang memerhati dan menuntut keberanian moral untuk menegakkan keadilan tanpa dwistandard demi kemanusiaan dan Palestin.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami