KETIKA dunia menyambut Hari Hak Asasi Manusia esok (10hb Dis, 2023), Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) telah memulakan pelbagai langkah dan inisiatif, bertujuan untuk melindungi dan mempertahankan maruah dan hak asasi setiap individu serta masyarakat terpinggir.

Prinsip, pengalaman dan pencapaian CENTHRA dalam memperjuangkan hak asasi manusia sejak penubuhannya, kekal tidak berubah dan akan terus diperjuangkan demi kebaikan bersama.

Dalam memperkasakan komuniti pelarian, perjalanan kami awal tahun ini bermula dengan kunjungan ke pelbagai komuniti pelarian, termasuk Akademi Darul Eslah, sebuah institusi yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan untuk pelarian Rohingya dan Timur Tengah, kedua-duanya terletak di Ampang, Selangor.

Sinergi kerjasama kami dengan para peguam hak asasi manusia tempatan dan pasukan sukarelawan dalam memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan akan kekal menjadi tunjak utama perjuangan kami. Kami akan terus mengharungi cabaran rumit dan membantu menyelesaikan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pelarian dengan menawarkan sokongan untuk mendapatkan peluang pekerjaan, memudahkan pemberian akses kepada pendidikan bagi kanak-kanak pelarian dan membantu menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Inisiatif litigasi strategik global CENTHRA adalah bertujuan untuk memperkasakan pelarian melalui akses tanpa had bagi mendapatkan maklumat komprehensif serta bantuan perundangan. Inisiatif ini menjadi pemangkin untuk membolehkan pelarian menavigasi akses perundangan dan mencari keadilan untuk diri mereka sendiri dalam keadaan yang kian mencabar.

Dari segi advokasi, pendidikan dan jangkauan komuniti, CENTHRA akan terus menyokong kanak-kanak pelarian yang terpinggir. Usaha gigih kami berkisar untuk membolehkan suara mereka didengar, tidak bersifat retorik semata-mata. Usaha ini merangkumi menangani isu kritikal seperti mendapatkan dokumen, kemudahan asas dan perlindungan bagi mereka.

CENTHRA akan terus komited dalam memperkasa komuniti pelarian melalui inisiatif pendidikan dan program lain yang bersesuaian dalam memenuhi keperluan dan tuntutan mereka yang berbeza.

Kami juga terlibat aktif dalam Sesi Perundingan Kajian Berkala Sejagat (UPR) Malaysia, yang diatur di bawah naungan Kementerian Luar Negeri.

Komitmen CENTHRA adalah untuk menegakkan hak asasi manusia dalam rangka kerja perundangan perlembagaan dan undang-undang Syariah melalui penglibatan yang bermakna. Kerjasama dengan badan antarabangsa ternama, termasuk UPRinfo Geneva, mengukuhkan lagi keazaman dan komitmen CENTHRA dalam memperjuangkan hak asasi manusia di peringkat global.

Pada bulan lepas, CENTHRA mengambil bahagian dalam inisiatif pembinaan kapasiti yang dianjurkan oleh CT PHARE di Jakarta. Inisiatif strategik ini bertujuan untuk mengukuhkan mekanisme pengawasan dan akauntabiliti dalam operasi memerangi keganasan di seluruh Asia Tenggara. Fokus perbincangan adalah perlindungan hak asasi manusia dalam konteks usaha memerangi keganasan.

Dalam bulan November juga, saya, bagi pihak CENTHRA, membantu pasukan peguam Yayasan MyAqsa Malaysia, mengemukakan bukti substantif di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Hague, Belanda, dalam usaha membawa Benyamin Netanyahu yang bertanggung-jawab terhadap pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin ke muka pengadilan ICC.

Pendirian proaktif dan komitmen CENTHRA yang tidak berbelah bahagi akan terus ditonjolkan dalam memperjuangkan hak asasi manusia dan bagi mendapatkan keadilan bagi individu dan masyarakat yang terjejas.

Hari Hak Asasi Manusia terkandung dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Dalam menghadapi pelbagai cabaran global seperti konflik bersenjata, ketidaksamaan dan ketidakadilan kaum, krisis alam sekitar dan konflik kemanusiaan, nilai-nilai asas yang termaktub dalam UDHR akan terus menjadi penunjuk arah bagi  tindakan kolektif dalam memastikan keterangkuman dan kesaksamaan semua individu.

Penglibatan CENTHRA dalam menyediakan Laporan Pihak Berkepentingan Kajian Berkala Sejagat MACSA kitaran ke-4 untuk UNHRC yang dijadualkan untuk semakan dalam bulan Januari 2024 dan aktiviti advokasinya yang merangkumi pelbagai isu mendesak seperti pendidikan untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan akan terus menerus diperjuangkan.

CENTHRA kekal teguh dalam usaha kami demi mendapatkan keadilan, kesaksamaan dan pemerkasaan semua individu pada tahun-tahun mendatang.

Kami juga komited dalam mempertahankan prinsip yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Syariah dan akan terus berusaha ke arah membantu golongan yang lemah dan terpinggir untuk memastikan suara mereka didengari serta hak mereka, dilindungi.

Azril Mohd Amin
Pengasas dan Pengerusi CENTHRA