Kuliah Maghrib yang dijadual disampaikan penceramah kontroversi Wan Ji Wan Hussin di Masjid Ar Rahman di Kampung Parit Melana di Durian Tunggal, Melaka pada Ahad bertukar kecoh.

Majlis ilmu anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal itu terpaksa dihentikan sementara selepas kira-kira sekumpulan 50 individu membuat provokasi bagi mendesak ceramah itu dihentikan serta merta.

Kekecohan itu dikatakan bermula pada jam 7 petang di bahagian luar masjid sebelum berjaya ditenangkan pihak berkuasa.

BACA: Wan Ji disyaki sebar fitnah dakwa dipukul dalam penjara

BACA: Wan Ji boleh buat laporan polis - Muhyiddin

BACA: Rayuan ditolak, hukuman penjara 9 bulan Wan Ji dipinda kepada setahun


Usai solat Maghrib, sekali lagi kekecohan tercetus apabila kumpulan berkenaan bertindak bergerak ke bahagian hadapan masjid dan berlakunya “perang mulut” kira-kira 30 minit menyebabkan kuliah berkenaan tergendala.

Selepas sekali lagi ditenangkan pihak berkuasa, kumpulan itu kemudian beredar dan Wan Ji meneruskan ceramahnya bermula jam 8.40 malam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan, Datuk Mohd Sofi Ab Wahab berkata, penganjuran ceramah tersebut telah dimaklumkan kepada pihak polis dan juga mendapat kebenaran khas daripada Pejabat Mufti Negeri Melaka.

“Kita meneruskan sebab kita dapat kebenaran dan kita tidak mengundang provokasi. Kita ingin budayakan budaya ilmu, sebab itu awal-awal lagi kita beritahu bahawa kita akan teruskan program ini kerana kita yakin orang Melaka tak buat macam tu.

“Malam ini kita lihat sudah ada provokasi, pada masa akan datang kita akan tengok macam mana suasana. Memang kita tahu provokasi itu akan berlangsung, tapi kita tak mahu menunjukkan pada rakyat bahawa rakyat ambil undang-undang sendiri,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A. Asmadi Aziz ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012).

Wan Ji dipenjarakan pada 9 Julai lalu selepas rayuannya terhadap sabitan menghasut gagal, dalam kes menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mahkamah Tinggi Shah Alam juga meningkatkan hukuman penjara daripada 9 bulan kepada 12 bulan dan mengarahkan agar hukuman berkuat kuasa serta merta.