Skip to main content

Dunia

Piala Dunia: FIFA benarkan penonton bawa sebotol air masuk stadium

world cup, AP
FIFA membenarkan penyokong yang menghadiri perlawanan Piala Dunia di Amerika Syarikat dan Kanada membawa masuk sebotol air pakai buang ke dalam stadium, namun tertakluk kepada beberapa syarat keselamatan yang ketat. - Gambar hiasan AP

MEXICO CITY: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan penyokong yang menghadiri perlawanan Piala Dunia di Amerika Syarikat dan Kanada membawa masuk sebotol air pakai buang ke dalam stadium, namun tertakluk kepada beberapa syarat keselamatan yang ketat.

Dalam kenyataan terbaharu, FIFA memaklumkan, hanya botol plastik lembut berkapasiti maksimum 590 mililiter dan masih berpenutup dibenarkan memasuki venue.

Sebaliknya, botol keras serta botol guna semula kekal dilarang atas pertimbangan keselamatan.

Ketua Pegawai Operasi FIFA, Heimo Schirgi berkata, sekatan itu dibuat kerana botol berpotensi menjadi objek berbahaya sekiranya dibaling di dalam stadium.

Keputusan tersebut dibuat selepas badan induk itu mengemas kini kod tatakelakuan stadium, termasuk menarik semula garis panduan terdahulu yang membenarkan botol plastik lutsinar guna semula dibawa masuk.

Langkah berkenaan sebelum ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong, khususnya mengenai keperluan kekal terhidrat ketika menonton perlawanan, lebih-lebih lagi dengan jangkaan suhu melebihi 25 darjah Celsius di beberapa venue.

Bagi menangani isu tersebut, FIFA memberi jaminan bahawa bandar tuan rumah akan menyediakan kemudahan tambahan seperti stesen hidrasi, kawasan semburan kabus serta khemah penyejukan di sekitar stadium.

Selain itu, harga air minuman di dalam stadium akan dikekalkan selaras dengan kadar biasa yang ditawarkan ketika acara lain berlangsung.

Piala Dunia dijadual membuka tirainya Khamis depan apabila Mexico menentang Afrika Selatan di Stadium Azteca. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement