KUALA LUMPUR: CGS-CIMB Research menyemak turun penarafan DRB-Hicom Bhd. kepada 'pegang' berbanding 'tambah' sebelum ini dengan harga sasaran dikurangkan kepada RM1.40 daripada RM1.70 selepas kumpulan mencatat kerugian besar pada suku pertama.

Bagi suku berakhir 31 Mac 2022 itu, kerugian bersihnya melebar kepada RM25.74 juta daripada RM16.96 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, selaras dengan hasil yang lebih rendah.

Pendapatan turun 12.6% kepada RM3.07 bilion daripada RM3.51 bilion sebelumnya, disebabkan hasil yang lebih rendah daripada sektor automotif, pos, logistik dan perkhidmatan katering serta sektor hartanah.

Firma itu menyifatkan prestasi kewangan pada suku pertama itu tersasar daripada jangkaannya apabila kumpulan merekodkan kerugian disebabkan jualan dan keuntungan Proton yang lebih lemah daripada jangkaan.

Katanya, hasil Proton susut 22% tahun ke tahun pada suku tersebut terutamanya disebabkan jualan yang lebih rendah berikutan masalah kekurangan cip dan gangguan bekalan oleh vendornya, yang turut menyaksikan penguasaan pasaran Proton menurun 6.9% kepada 16% pada tempoh itu.

"Oleh itu, kami mengurangkan unjuran jumlah jualan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak 115,000 unit daripada 130,000 unit sebelum ini.

"Ini memandangkan Proton telah menangguhkan rancangannya untuk melancarkan model baharu pada 2023, dan bukannya tahun ini, sebahagiannya disebabkan masalah kekurangan cip yang berterusan, diburukkan lagi penutupan berpanjangan di China.

"Kami melihat prospek DRB-Hicom dalam tempoh terdekat akan terus mencabar ekoran gangguan rantaian bekalan dan tekanan kos inflasi ekoran kenaikan kadar faedah," katanya dalam nota kajian hari ini.

Susulan itu, CGS-CIMB mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22 hingga FY24 sebanyak 25% hingga 44% bagi mencerminkan jumlah jualan Proton yang rendah dan prospek mencabar kumpulan.

Bagaimanapun, ia melihat prospek positif untuk segmen perbankan, aeroangkasa dan pos berikutan pembukaan semula ekonomi global dan pelan pemulihan yang berterusan.

"Namun, prospek lemah segmen automotif, terutamanya untuk Proton, boleh menjejaskan pemulihan pendapatan DRB-Hicom bagi FY22," jelasnya.

Setakat 10.54 pagi ini, harga saham DRB-Hicom susut 5 sen atau 3.73% kepada RM1.29 dengan 607,000 saham diniagakan.

*Artikel asal disiarkan di .