Syarikat Chatime Malaysia Sdn Bhd menafikan persepsi orang awam bahawa syarikat itu telah ditukar namanya kepada Tealive.

Chatime juga akan bertindak dalam pelbagai cara untuk menjelaskan serta memberi kesedaran kepada pembeli tentang kekeliruan penukaran nama syarikat itu, pada tahun ini.

“Separuh pembeli sangat keliru dan ada yang menganggap Chatime dan Tealive adalah syarikat yang sama atau Chatime telah ditukar nama sebagai Tealive.

“Jadi kami ingin memperjelaskan Chatime dan Tealive adalah dua syarikat yang berbeza dan syarikat tidak pernah menukar nama kepada Tealive,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia, Aliza Ali dalam satu temu ramah dengan Astro AWANI di sini hari ini.

Bagaimanapun, antara langkah yang di ambil oleh pihak Chatime untuk memperluaskan syarikat itu ialah menambah cawangan di Malaysia.

“Chatime akan membuka sebanyak 150 cawangan di Malaysia dalam masa lima tahun ini dan menyasarkan pulangan sebnyak RM1.2 bilion yang telah baru sahaja kami capai di Taiwan,” katanya.

Menurut Aliza, francaisi yang mengambil francais perlu lebih teliti dengan asal usul sesuatu jenama tersebut dan siapa yang akan memimpin membawa jenama itu ke pasaran.

“Francaisi boleh semak dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk menyiasat sama ada syarikat itu bertauliah untuk menajadi francaisi perniagaan itu, kerana keputusan pemimpin akan menjejaskan sesuatu perniagaan.

“Sebagai francaisi, salah satu pengajaran yang saya dapat adalah kita perlu tahu tentang perkembangan syarikat itu, kerana apabila masalah berlaku, kita tidak tahu bagaimana ketua francaisi selesaikan masalah itu.

“Saya bernasib baik kerana tidak sekadar mendengar berita yang dikeluarkan malah mengambil tindakan dengan cepat untuk mengetahui sesuatu perkara itu lebih lanjut, itu adalah antara sebab kami kekalkan syarikat Chatime,” kata Aliza.

Syarikat Chatime telah mengeluarkan surat tuntutan terhadap syarikat Loob Holding Sdn Bhd pemilik jenama Tealive atas dasar fitnah dan salah anggap bahawa nama Chatime itu telah ditukar kepada Tealive.