MALAYSIA
Che Rohani kekal warisan tenun songket tradisional

Walaupun usia kian meniti senja, Che Rohani tetap teguh di gedung kecil tenunannya, menghidupkan kembali legasi ibunya dengan hasil tenunan halus yang menjadi identiti negeri Cik Siti Wan Kembang. - Gambar Bernama
KOTA BHARU: Setiap kain songket dihasilkan Che Rohani Che Mood mencerminkan kesungguhan wanita itu meneruskan warisan arwah ibunya Nik Sapiah Abdul Rahman, penenun tersohor Kelantan yang telah lebih 50 tahun berkecimpung dalam seni tenun.
Bagi Che Rohani, 68, seni menenun songket wajar dipertahankan, menjadikan beliau setia menghasilkan songket berkualiti tinggi secara tradisional supaya warisan itu tidak pupus ditelan zaman.
"Saya membesar melihat ibu menenun hampir setiap hari. Bagi saya, seni songket ini bukan sekadar kain, tetapi lambang ketekunan, budaya dan identiti masyarakat Kelantan," katanya kepada Bernama semasa ditemui pada Festival Tekstil dan Warisan Melayu Kelantan di Istana Balai Besar di sini baru-baru ini.
Ibu kepada tujuh anak itu berkata proses menghasilkan songket sangat rumit kerana memerlukan ketelitian dan jika tersilap, tenunan perlu dibuka semula.Che Rohani berkata dalam penghasilan songket, pemilihan benang menjadi aspek paling penting untuk menentukan kualiti, dan beliau lazimnya menggunakan benang kapas atau sutera diperoleh dari Terengganu.
Benang tersebut akan melalui beberapa proses antaranya melerai, menganeng (proses menentukan panjang atau jumlah kain akan ditenun), digulung pada papan mengikut lebar gigi alat tenun sebelum diperiksa dan dikira satu demi satu bagi memastikan corak dihasilkan kemas.
"Ada pelanggan mahu corak tersendiri seperti bunga pucuk rebung, bunga cermai, bunga bintang, bunga tabur atau pagar istana. Corak akan dilukis terlebih dahulu di kertas untuk dijadikan panduan sepanjang proses menenun," katanya yang mengusahakan aktiviti itu di rumah.
Che Rohani berkata sepasang songket biasanya mengambil masa antara dua minggu dan boleh berlarutan hingga dua bulan untuk disiapkan bergantung kepada kerumitan corak.
Peringkat paling mencabar bagi wanita itu ialah proses menyapuk yang memerlukan benang dikait melalui gigi atau sikat jentera dengan jarum pengait.
"Proses ini memerlukan saya membongkok lama, jadi agak mencabar pada usia sekarang. Jika tersilap walau sedikit, lebihan benang boleh menjejaskan corak tenunan," katanya.
Disebabkan kerumitan proses dan ketelitian yang tinggi, songket dihasilkan Che Rohani dijual antara RM800 hingga RM2,000 sepasang, serta sering menjadi pilihan pelancong luar negara dan golongan kenamaan serta kerabat diraja.
Che Rohani berharap lebih ramai anak muda mempelajari seni tenunan songket Kelantan supaya warisan itu kekal sepanjang zaman.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami