Walaupun sudah dua minggu berlalu, namun tragedi hujan lebat sehingga mengakibatkan jamban rumah Che Yah Che Mat, 71, di kampung Bukit Sebelah, dekat Weng, Baling ranap, masih tidak dapat dilupakan.

Meskipun kejadian jam 3 pagi, Isnin dua minggu lalu itu tidak melibatkan kehilangan nyawa, namun hanya selangkah jarak yang memisahkan warga emas itu dengan tebing Sungai Ketil yang terhakis.

Katanya, ketika dia mula mendiami di situ, jarak rumahnya dengan tebing sungai kira-kira 50 meter.


Tahun demi tahun, sungai itu mula menghakis tebing sehinggakan kini jarak rumahnya begitu menghampiri tebing, hanya kira-kira 2 meter sahaja.

“Arus sungai deras dari arah sana, rasa takut nak tengok. Buka pintu pun takut. Mereka hendak korekkan? Lega rasanya dan terima kasih kerana jaga rumah makcik,” kata Che Yah ketika ditemui Astro AWANI.

Tahun demi tahun, sungai itu mula menghakis tebing sehinggakan kini jarak rumahnya begitu menghampiri tebing, hanya kira-kira 2 meter sahaja. -Foto Astro AWANI
Sementara itu, Pejabat Daerah Baling kini dalam usaha mendalamkan Sungai Ketil, Sungai Kupang dan Sungai Tawar di sini sebagai langkah jangka pendek menangani masalah banjir kilat di daerah itu.

Pegawai Daerahnya, Md Shuhaimi Abd Rahman berkata, langkah itu selari dengan arahan Jabatan Pengairan dan Saliran, setelah mendapati tiga sungai berkenaan tidak diselenggara dengan baik.

“Banyak saki baki lebihan kayu balak, lepas tu aliran sungai tersekat disebabkan selut-selut, jadi kita mendalamkan dan mencuci buang reba-reba (kayu-kayu) tu.

"Ertinya aliran sungai akan berjalan lancar tidak ada yang tersangkut. Jadi kita dalamkan dan lebarkan. Bukan untuk melebarkan sampai luas sungai tu, dia dah sempit sebab selut banyak jadi kita korek, kita tinggikan tebing,” kata Md Shuhaimi.

Jelasnya, pihaknya akan memastikan tindakan menyelenggarakan sungai dilakukan secara berkala termasuk laluan anak sungai.

Dalam masa sama, benteng akan dibina di kawasan rendah bagi menaik taraf infrastruktur sungai.