SHAH ALAM: Kerajaan merancang menghimpunkan kepimpinan tertinggi pentadbiran setiap negeri, termasuk barisan pimpinan parti politik, dalam satu sesi taklimat khas yang dijangka berlangsung minggu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata taklimat yang akan dikendalikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu bertujuan membincangkan langkah bersama bagi memastikan kemampanan ekonomi dan keselamatan negara, susulan ketidaktentuan di Asia Barat.
Advertisement
“Kita bersyukur kerana situasi yang dihadapi negara tidak serumit beberapa negara jiran. Setakat ini, belum ada keperluan untuk catuan, harga RON95 tidak menunjukkan peningkatan mendadak dan bekalan masih mencukupi sehingga Mei. Keadaan juga dipantau setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat bersama orang ramai di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini hari ini.
Mengulas cadangan pembangkang supaya satu sidang khas Dewan Rakyat diadakan bagi membincangkan kesan perkembangan di Asia Barat, Anwar menjelaskan perkara itu akan dipertimbangkan selepas kerajaan merangka pelan yang lebih konkrit hasil perbincangan bersama pemimpin negeri.