KUALA LUMPUR: Tokoh korporat kontroversi, Victor Chin Boon Long memfailkan tindakan undang-undang terhadap pengasas Bestinet Sdn Bhd, Aminul Islam Abdul Nor, dengan mendakwa individu itu merupakan dalang sebenar di sebalik cubaan pengambilalihan NexG Bhd.
Victor Chin yang juga bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) NexG mengesahkan writ saman telah difailkan dengan menamakan Aminul sebagai defendan pertama dalam kes berkenaan.
Advertisement
Menurutnya, usaha yang disifatkan sebagai 'serangan' terhadap NexG bermula pada Oktober 2025, tidak lama selepas syarikat itu memperoleh kontrak kerajaan bernilai RM2.46 bilion.
Victor Chin dalam satu kenyataan media mendakwa Aminul menggunakan taktik yang digelarnya sebagai 'mafia korporat' untuk mendapatkan kawalan ke atas NexG, termasuk menggunakan agensi penguat kuasa sebagai alat tekanan.
"Individu berkaitan pemegang saham NexG menjadi sasaran siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), selain akaun bank dan Sistem Depositori Pusat (CDS) milik pemegang saham utama dibekukan bagi memaksa perubahan kepimpinan.
"Aminul bertindak sebagai “pengarah bayangan” dengan melantik wakil dalam lembaga pengarah NexG, selain cuba mengakses harta intelek syarikat serta mengalihkan komponen kontrak utama kepada HeiTech Padu Bhd melalui subkontrak," menurutnya.
Selain itu, beliau turut merujuk laporan media antarabangsa yang mendakwa Aminul dikehendaki pihak berkuasa di Bangladesh atas tuduhan pengubahan wang haram dan pemerdagangan manusia, namun dakwaan itu telah dinafikan Aminul.
Dalam masa sama, Victor Chin menegaskan beliau tidak terlibat dalam kontroversi lalu yang sering dikaitkan dengan label 'mafia korporat, termasuk melibatkan Revenue Group Bhd, Caely Holdings Bhd (kini NexG Bina Bhd) dan MJets Air Sdn Bhd.
Beliau menjelaskan, isu melibatkan Revenue Group hanyalah pertikaian dalaman antara pengasas, manakala kes Caely Holdings berkaitan salah guna dana berjumlah RM30.55 juta berlaku sebelum penglibatannya.
Bagi MJets Air pula, Victor Chin berkata tindakan penguatkuasaan lebih tertumpu kepada pengendali syarikat berkenaan yang berdepan pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Syarikat.
Menurutnya, label 'mafia korporat' terhadap dirinya adalah satu bentuk salah tafsir dan serangan terhadap reputasi.
“Saya hanya terpalit melalui keadaan dan jaringan perniagaan, bukan kerana penglibatan langsung,” katanya.
Mengulas peranannya di NexG, Victor Chin berkata beliau terlibat dalam pelancaran MyNasional, iaitu platform identiti digital yang mengintegrasikan e-KYC biometrik dan kecerdasan buatan bagi kegunaan agensi kerajaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Tambahnya, NexG turut melaksanakan pelan pertumbuhan bernilai RM250 juta bagi memperluas operasi ke rantau ASEAN dan Afrika, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam penyelesaian identiti digital selamat.
Sehubungan itu, Victor Chin menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berkenaan dan menyatakan kesediaannya untuk mendedahkan segala maklumat dalaman melalui saluran perundangan yang sewajarnya.
“Saya sebelum ini berdiam diri kerana terikat dengan kerahsiaan, namun bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya diperlukan di bawah kerangka undang-undang,” katanya.