NEW DELHI: Usaha Pakistan sebagai orang tengah untuk menghentikan perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran telah mencapai “peringkat kritikal”, kata Duta Besar Iran ke Pakistan Reza Amiri Moghadam pada Selasa.
Moghadam menyifatkan desakan diplomatik kuat Pakistan untuk mencapai gencatan senjata sebagai "positif dan produktif".
Advertisement
Usaha itu "mendekati peringkat kritikal dan sensitif," katanya dalam catatan di X.
"Nantikan perkembangan seterusnya,” tambah duta Iran itu.
Israel dan Presiden AS Donald Trump mengeluarkan ancaman baharu iaitu pihak mereka akan meletupkan infrastruktur awam Iran termasuk loji kuasa, jambatan dan sistem kereta api.
“Setiap jambatan di Iran akan musnah pada pukul 12 tengah malam esok, iaitu setiap loji jana kuasa di Iran akan tidak beroperasi, terbakar, meletup dan tidak dapat digunakan lagi,” kata Trump pada Isnin.
Sementara itu, Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata pada Selasa beliau dan berjuta-juta rakyat Iran bersedia untuk mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan negara.
"Lebih 14 juta rakyat Iran setakat ini, dengan bangga, telah mendaftar untuk mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan Iran. Saya juga telah, sedang dan akan tetap berbakti dengan penuh kesetiaan untuk Iran,” menurut hantarannya di X.
-- BERNAMA