KUALA LUMPUR: Langkah pencegahan yang lebih ketat dan spesifik perlu dilakukan bagi mengelakkan Malaysia kembali kepada situasi kes COVID-19 sekitar 2019 dan 2020.

Ia susulan tindakan China yang akan menarik balik syarat kuarantin terhadap pelancong antarabangsa bermula 8 Januari depan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof. Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, individu yang datang dari China khususnya pelancong perlu menjalani ujian saringan yang ketat sebelum memasuki negara ini.

Katanya lagi, individu berkenaan juga disarankan menjalani kuarantin dalam tempoh yang lebih panjang, dan ia perlu dilaksanakan secara lebih komprehesif di pintu-pintu masuk negara.

"Begitu juga rakyat kita yang ingin ke China, kita tidak galakkan ke sana kecuali kalau betul-betul perlu dan kita juga harapkan bahawa penduduk kita, rakyat Malaysia mengambil dos penggalak COVID-19, terutama sekali mereka yang mempunyai risiko tinggi, dan berumur lebih 60 tahun.

"Ini harus kita laksanakan, dan yang penting adalah pencegahan dan kaedah untuk memantau mereka yang datang dari China, dan rakyat kita yang mendapat pendedahan apabila berada di negara-negara tersebut.

"Difahamkan Hong Kong juga telah membuka pintunya dan ramai rakyat Malaysia mungkin akan melancong ke Hong Kong dan China, dan mereka harus mengambil tindakan yang sesuai supaya tidak membawa balik penyakit kepada masyarakat kita," katanya dalam program Agenda AWANI yang disiarkan pada Khamis malam.

Jelas Dr Syed Mohamed Aljunid, isu ketidaktelusan data kes COVID-19 di China sebelum ini, menjadi kebimbangan kepada kebanyakan negara untuk menerima pelancong dari negara berkenaan.

Lebih menggusarkan, beliau menambah China turut dilaporkan tidak akan mendedahkan data-data kes COVID-19 kepada umum dan masyarakat negara itu mulai hujung Disember ini.

"Kita khuatir kalau-kalau kes ini akan terus meningkat dengan banyak dan ini menyebabkan keadaan yang tidak terkawal.

"Kita harapkan tidak kembali kepada situasi di sekitar 2019 atau 2020. Kita mengharapkan tindakan khusus dengan lebih aktif seperti mana yang dilakukan oleh kerajaan Jepun, India dan Amerika Syarikat (AS)," kata Dr Syed Mohamed Aljunid.

Dalam pada itu, Dr Syed Mohamed Aljunid berkata kajian penjujukan genom terhadap individu yang positif COVID-19 harus dilakukan untuk mengesan sama ada ia melibatkan varian baharu dan kadar keberkesanan vaksin sedia ada.

"Jadi kita harus lihat mungkin satu kajian yang lebih terperinci tertumpu kepada kes-kes baharu, kajian genomik untuk pastian vairan baharu atau berlaku varian lama dan masih sensitif.

"Kalau tidak sensitif kepada vaksin yang ada, mungkin ada vaksin baharu yang perlu dikemas kini supaya ia lebih sensitif dan sesuai digunakan bagi menghadapi gelombang baharu," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, lebih 10 juta kes COVID-19 direkodkan di China, dengan lebih 31,000 kematian sejak 3 Januari 2020 hingga 23 Disember ini.

Sementara, lebih 3.4 bilion dos vaksin telah diberikan setakat 28 November lalu.