Pembinaan 350 kelas prasekolah tidak terhad di sekolah rendah - Timbalan menteri

Wong berkata sebanyak RM125 juta diperuntuk bagi pembinaan prasekolah di peringkat KPM seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2026.
KUALA LUMPUR: Pembinaan 350 kelas prasekolah baharu tidak terhad di sekolah rendah sebaliknya turut melibatkan institusi Kementerian Pendidikan (KPM) lain, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Ringkasan AI
- Sebanyak 350 kelas prasekolah baharu akan dibina bukan sahaja di sekolah rendah, tetapi turut melibatkan institusi lain di bawah KPM seperti sekolah menengah, kolej vokasional, matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG), dengan peruntukan RM125 juta melalui Belanjawan 2026.
- KPM memperuntukkan RM1.08 bilion bagi pendidikan prasekolah pada tahun 2025, termasuk RM1.077 bilion untuk emolumen dan RM9.25 juta bagi bukan emolumen, serta RM3.38 juta khusus untuk pembangunan kurikulum baharu dan latihan guru prasekolah.
- Latihan penataran kurikulum prasekolah 2026 dilaksanakan secara berfasa sepanjang 2025 melibatkan jurulatih utama di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah, dengan fokus kepada pembangunan modul, bengkel nilai dan peningkatan profesionalisme guru bagi membentuk murid secara holistik.
Wong berkata sebanyak RM125 juta diperuntuk bagi pembinaan prasekolah di peringkat KPM seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2026.
Menjawab soalan asal Mohd Shahar mengenai perbelanjaan kerajaan untuk prasekolah berbanding tahap pendidikan lain, beliau berkata sebanyak RM1.08 bilion diperuntuk daripada peruntukan keseluruhan kementerian berjumlah RM64.1 bilion bagi pendidikan awal kanak-kanak atau prasekolah pada 2025.
Wong berkata daripada peruntukan RM1.08 bilion itu, sebanyak RM1.077 bilion adalah bagi tujuan emolumen manakala RM9.25 juta bagi bukan emolumen.
Beliau juga berkata KPM turut memberikan tumpuan kepada pembangunan kompetensi guru agar mereka bersedia melaksanakan kurikulum prasekolah 2026 yang akan diperkenal secara rasmi pada tahun berkenaan selaras dengan usaha meningkatkan mutu pendidikan prasekolah.
"Sepanjang 2025, latihan penataran kurikulum dilaksanakan secara berfasa melibatkan jurulatih utama di peringkat kebangsaan, negeri dan juga daerah sebelum disampaikan kepada guru-guru prasekolah di seluruh negara," katanya sambil menambah pendekatan itu bagi memastikan kefahaman guru terhadap kandungan kurikulum serta pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran baharu dapat diperkukuh.
Wong berkata KPM memperuntukkan RM3.38 juta bagi pembangunan model dan modul serta pelaksanaan latihan guru prasekolah bagi tujuan itu, dengan antara inisiatif yang dilaksanakan ialah pembangunan modul latihan, bengkel pengoperasian nilai dan program peningkatan profesionalisme guru.
"Secara keseluruhan, usaha ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan guru dalam melaksanakan kurikulum baharu tetapi juga memastikan murid prasekolah dibentuk secara holistik daripada segi intelek, rohani, emosi dan juga jasmani," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


