MALAYSIA
Chow seru rakyat Pulau Pinang kibar, hayati erti Jalur Gemilang

Chow Kon Yeow berkata, erti sebenar Jalur Gemilang perlu dihayati, iaitu panji keramat yang sentiasa berkibar megah sebagai lambang kedaulatan, perpaduan dan maruah negara. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Rakyat Pulau Pinang diminta bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan cinta akan tanah air kerana pada helaian warnanya terpateri harga diri bangsa, sejarah perjuangan dan semangat kemerdekaan yang tidak pernah luntur.
Ringkasan AI
- Rakyat Pulau Pinang digesa mengibarkan Jalur Gemilang dengan rasa bangga dan cinta akan tanah air sebagai simbol perpaduan, maruah dan kedaulatan negara sempena Bulan Kebangsaan.
- Pulau Pinang diberi penghormatan menjadi tuan rumah dua acara nasional penting: Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan dan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan.
- Kerajaan negeri menyeru penyertaan aktif rakyat dalam program patriotik seperti Perbarisan Hari Kebangsaan bagi menyemarakkan semangat perpaduan dan jati diri sebagai rakyat Malaysia.
"Menghormati Jalur Gemilang bermakna kita menjaga keharmonian negeri ini, menolak segala bentuk prejudis yang memecahbelahkan rakyat, menjunjung prinsip integriti dan keadilan, serta menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan progresif," katanya semasa berucap melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Pulau Pinang di sini hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Law Choo Kiang yang juga Pengerusi Majlis-majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Zulkifli Long.
Chow berkata tahun ini membawa makna yang lebih istimewa apabila Pulau Pinang diberikan penghormatan menjadi tuan rumah kepada dua acara nasional yang amat bermakna, iaitu Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 selama tiga hari dari 17 Julai lepas yang berlangsung di pekarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.
Beliau berkata Pulau Pinang turut berbangga menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan pada 16 Sept nanti.
"Kerajaan negeri menerima amanah itu dengan penuh rasa tanggungjawab, keterbukaan dan komitmen tinggi untuk menjayakan sambutan bersejarah ini sebagai platform penyatuan rakyat Malaysia dari segenap pelosok tanah air,'' katanya.
Justeru, beliau menggesa seluruh warga Pulau Pinang supaya bersama-sama mengambil bahagian dalam semua program yang akan dianjurkan termasuk Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Stadium Batu Kawan dan pelbagai acara lain yang akan disusun bagi memperkukuh semangat cinta akan negara.
"Kita harus menyemarakkan suasana dengan semangat perpaduan, patriotisme dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia,'' katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami