KUALA LUMPUR : Kemajuan pembangunan infrastruktur projek Chuping Valley Industrial Area (CVIA) telah mencapai 89.4 peratus setakat 31 Januari lalu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, projek itu dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun ini.

“CVIA juga dijangka akan menerima pelaburan komited setakat ini berjumlah RM2.5 bilion dengan sasaran untuk mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 1,870 peluang pekerjaan setelah disiapkan kelak.

“Sehingga 31 Januari 2023, pembinaan komponen laluan khas bonded road telah mencatatkan kemajuan 40.25 peratus, manakala komponen jejambat dan laluan kereta api masih di peringkat kerja awalan dengan kemajuan fizikal sebanyak 1.41 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) di Dewan Rakyat di sini pada Isnin. 

Shahidan terdahulu, bertanya adakah Kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan projek CVIA dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang telah lama dirancang kerana ia dijangka mampu menjadi pemangkin untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat terutama dari segi sosioekonomi khususnya bagi Perlis dan negara keseluruhannya.

Dalam pada itu, kata Rafizi lagi, pembinaan infrastruktur luaran bagi projek PIP dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2024 selari dengan penyiapan komponen projek yang dibangunkan Kerajaan Negeri Perlis.

"PIP merupakan projek inisiatif di bawah Kerajaan Negeri Perlis yang dilaksanakan melalui Kerjasama Awam-Swasta.

"Kerajaan telah meluluskan pembiayaan pembangunan untuk membiayai infrastruktur sokongan projek PIP yang terdiri daripada tiga komponen," ujarnya.