BALIK PULAU: "Cik Kiah", seekor ular sawa batik betina seberat 220 kilogram yang pernah tular sebelum ini ditemukan mati di sini semalam.

Pemilik haiwan berkenaan Mohd Redzuan Abdullah Zawawi, 39, berkata reptilia berusia 20 tahun itu didapati sudah tidak bernyawa apabila dia menjenguk Cik Kiah di dalam bilik khasnya kira-kira pukul 11 pagi.

"Dua, tiga hari memang ular ini macam tak sihat ... tiba-tiba pagi ini (semalam) nak bawa keluar, saya pegang haiwan ini tidak bergerak dan perut pula jadi kembung.

"Badan ular sawa ini elok dan tiada sebarang kecederaan, mungkin sudah ajal kerana usia haiwan ini juga mencecah 20 tahun. Sedih dan terkilan, namun saya reda," katanya dalam video menerusi akaun Facebooknya.

Cik Kiah yang dianggarkan sepanjang tujuh meter itu berasal daripada keluarga Malayphython reticulatus atau reculated python yang didakwa sebagai ular sawa batik peliharaan terbesar di Asia, juga antara sembilan ekor ular pelbagai genetik yang dipelihara Mohd Redzuan.

Menurut Mohd Redzuan, Cik Kiah yang dipeliharanya sejak kecil itu sangat jinak dan tidak pernah mencederakannya biarpun haiwan itu dilihat seperti seekor ular yang ganas berikutan saiz yang besar seakan-akan anakonda.

Katanya, dia sudah pun memaklumkan mengenai kematian Cik Kiah kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang, tetapi buat masa ini, reptilia itu disimpan sementara di dalam peti sejuk selama dua minggu sebelum diserahkan kepada pihak berkenaan untuk diawet dan disimpan.

Bernama sebelum ini pernah menyiarkan kisah mengenai Cik Kiah yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri oleh Mohd Redzuan.

Mohd Redzuan terserempak dengan anak ular sawa yang sedang melintas jalan pada 20 tahun lepas, sebelum memutuskan untuk mengambil dan memelihara reptilia itu.

-- BERNAMA