Cinta pertama amat berhantu. Malah bagi sesetengah individu, ia menjadi sangat asyik dan serentak mengganggu. Tiada statistik cinta pertama boleh kekal ke jinjang pelamin, tetapi kata penulis, “Lebih daripada separuh teman lama saya tidak kekal dengan pasangan cinta pertama. Malah, bukan juga kedua, ketiga atau keempat!”
Pertama=Istimewa atau Aturan Nombor?
Ah, segala tentang yang PERTAMA amat kekal di jiwa, sesekali mengasyikkan. Kali pertama ke sekolah, kali pertama menonton wayang, kali pertama diberi hadiah, kali pertama menjengah dunia luar atau asing, juga---Kali pertama jatuh cinta. Semuanya bagai nampak dan berbayang di mata, wala bertahun berlalu, dan cukup indah untuk dikenang walau jarang dan tanpa perlu disebut. Bagai rahsia diri dan hati, segala kenangan itu cukup segar dan wujud, walau ada juga pengalaman pertama yang pahit dan muram. Yang pasti, yang pertama selalu kekal bersarang atas banyak alasan yang walau pun peribadi, tetapi mempunyai persamaan antara individu.
Mengkelaskan Cinta Pertama juga kadang mengelirukan, lantaran ada timbalbalik dengan crush, atau muncul pula kategori ilham tulisan Rosie iaitu Suka-Suka Cinta (bawah di bawah umur) yang memang tidak ada apa-apa. Oleh kerana kita dewasa, biarlah kita bicarakan Cinta Pertama yang bermakna, berbekas dan segala yang indah-indah---Cinta yang disamaertikan dengan impian dan khayalan “My Knight In Shining Armour!” Kewujudan teman berlainan jantina, seorang asing pertama dalam ribuan manusia yang berjaya menambat hati, pastinya amat menarik untuk dikupas. Banyak soalan muncul, selalunya tanpa jawapan: Mengapa dia? kenapa tidak berterusan? Apakah yang berlakupada dirinya? Adakah dia masih mengingatiku? Ramai membiarkan saja soalan ini hilang, tetapi tidak ramai yang mahu melupakan pengalaman itu…
Cinta Pertama muncul pelbagai; tanpa spesifik waktu dan ketika. Boleh saja di alam sekolah, awal kampus atau lewat dewasa. Tentulah pula cinta ini dipengaruhi kematangan usia, dan pastilah kenangan dan peristiwa muncul berbeza. Bagi saya, Cinta Pertama tatkala beruniform biru-putih seperti filem Datuk Yusuf Haslam adalah bonus, kerana segala real fun muncul saat kita tidak waras dan matang sebenarnya. Bukankah saat itu saja kita mampu menulis, “Pecah kaca pecah gelas, sudah baca harap balas,”?, dan hadiah alatulis sudah memadai. Dewasa? Ohhhh…
Apa Ada Pada Nombor Satu?
Kenapa Cinta Pertama begitu segar? Persepsi dan tabiii manusia tentang kedudukan pertama ini patut boleh menjawab. Mungkin diajar mentaliti, “Dapat nombor apa periksa?” atau, ‘Mesti menang!’, ’Kiasu’ dan ‘To lead’, kita membesar dan percaya yang pertama itu sepatutnya istimewa dan dilayan terbaik. Pertama terlalu unik, hebat dan indah. Boleh jadi, yang pertama tidak semestinya sempurna, tetapi disebabkan kehadirannya awal, tiada perbandingan dengan sebelumnya lalu kita memberinya ruang untuk menjadi istimewa. Walau ada berpendapat, “tidak penting bagaimana ia bermula, yang penting bagaimana ia berakhir”, masih yang pertama itu sama menariknya dengan yang akhir.
Dari sudut pengalaman dan pendidikan tidak rasmi diri, apa-apa yang pertama merupakan pengalaman paling atas yang membentuk persepsi dan konsep, serentak berkembang menjadi kayu ukur, waspada dan ilmu pada diri seseorang untuk pengalaman seterusnya. Cinta, seperti mainan emosi lain, amat rapat dengan diri lantaran muncul sebagai kejutan psikologi seseorang. Pertama kali merindu, dibuai kenangan, didodoi lagu Cinta radio---Ditambah lagi kali pertama menyerahkan percaya dan berkongsi kehendak dan rahsia tentunya menjadikan Cinta Pertama istimewa.
Mungkin, Cinta Pertama bukan peristiwa, tapi sejarah. Sejarah, yang membezakan antara banyak apa-apa peristiwa semalam, adalah seputar hal kepentingan, kesan dan pengajaran yang boleh diambil. Sesetengah orang ada yang menganggap ia cuma peristiwa---Mungkin disebabkan ia bukan sesuatu yang menarik untuk diingat, lalu tidak menjadi apa-apa makna dalam diri. Ada juga manusia yang mengambil dua perkara – kepentingan, dan kesan sahaja. Contoh, si A hanya mengingati yang si B pernah muncul dalam hidup dan hati serta banyak berkongsi saat manis---Pengalaman yang cuma kenangan---Walau kini si B tiada lagi. Kesan pula mungkin dalam betuk duka atau suka emosi, yang membentuk waspada dan ilham yang Cinta itu apa. Cuma itu. Ada juga yang untung dapat mengambil pengajaran dari apa yang berlaku, walau ia datang cepat dan pendek tempoh, kerana setiap yang berlaku itu pasti ada sesuatu yang mahu diberitahu.
“Cinta itu Sekolah Emosi & Komunikasi Manusia”
Bagi manusia, tidak ramai yang mengambil endah akan pengajaran kerana menganggap Cinta Pertama adalah perkara lapuk, biasa dan berlaku kepada semua orang. Cinta Pertama hanya hadir kuat melalui kesan sahaja. Sayang, kerana persepsi pada kebiasaan itu telah menyebabkan Cinta Pertama itu terus menjadi bahan sampingan, tidak bermakna dalam hidup lantas hanya dianggap sebagai pengalaman.
Sebetulnya, manusia yang untung ialah manusia yang mengambil semua benda, termasuk saat jatuh longkang atau senyuman orang asing kepada dirinya, sebagai peristiwa yang terselindung pengajaran dan ditentukan Ilahi. Kita tidak perlu terlalu rajin untuk sedikit jauh meneliti, dan berfikir apakah kesan baik, amaran, peluang atau nilai yang boleh kita ambil dalam kejadian seharian. Beberapa minit sahaja sudah memadai, dan apakah pengajaran paling besar dalam hidup selain Cinta Pertama yang sememangnya diri terlalu tahu. Ingat, bukan setiap hari kita berpeluang mengenal diri dan hati orang lain!
“Everything Looked and Seemed Perfect!”
Ada sesuatu yang misteri tentang Cinta Pertama, kalau anda sukakan tahyul dan kebetulan. Mengapa Cinta Pertama nampak mudah? Ia berlaku senang dan tenang. Dua jantina. Sedikit peluang. Kerlingan mata, dialog ringkas, bicara lewat malam, bunga dan kad, declare (hehehe), dan zassss, JADI! Mungkin ini anugerah Tuhan agaknya, perasaan itu datang sendiri dan menjadi.
Yang pertama, tidak semestinya datang dalam keadaan diri kurang bersedia, tetapi kurang berpengalaman. Jadi, diri lebih terbuka, lebih pasrah dan sangat teruja. Dalam keadaan diri yang naïf dan tahap menerima tinggi, rasa memilih itu amat minimum dan tidak menyusahkan, maka perhubungan itu dapat berkembang pantas. Agak menarik jika manusia terus mampu mempunyai intuisi kanak-kanak yang tidak menilai orang lain---Sesiapa saja boleh menjadi teman---Agar manusia lebih senang menerima orang asing selagi dia melayannya baik. Tiada ekpektasi. Tiada sempadan diri. Sayang, lumrah tidak berakhir begitu. Kita dewasa dibentuk persepsi, ekspektasi diri, atau lebih teruk, harapan keluarga yang kadangkala membeban. (“Suami kaya Isteri sejahtera (SKIS)/Dia pendek sangat!/Kamu kan doktor, pilihlah setaraf!”)
‘First Love Is PseudoLove??’
Pseudo, ditakrif tidak real, penyamaran akan perkara yang betul, atau seakan-akan real. Jadi adakah Cinta Pertama tidak real? Bukan cinta sebenar atau bukan Kaedah mencari pasangan dan jodoh? Testdrive bagi Cinta seterus dan sebenar? Anda boleh bersetuju atau tidak, tetapi ada banyak perkara boleh menyokong dan menidakkan hujah ini.
Banyak kehendak dalam situasi Cinta Pertama bukan sebab kerelaan, hanya atas dasar terima dan sedikit pasrah. Ekspektasi diri, walaupun cela, muncul subur semakin hari dewasa. Ekpektasi ini menjadi kejam, lalu menjajah Cinta Pertama manusia. Hasilnya, cinta mendewasa berdasarkan kehendak dan harapan, bukan lagi berdasarkan rasa tulen, was-was yang didiamkan dan dasargive and take yang sangat diterima sebelumnya. Individualistik adalah lumrah manusia dewasa, dan ia mula mencari Cinta mengikut kehendak yang baru.
Jadi, apakah sebenarnya Cinta Pertama? Adakah ialah Cinta yang Suci atau ialah Cinta sebenar atau cuma urutan giliran Cinta? Semua jawapan mungkin betul, kerana setiap cinta itu adalah peribadi, dan terpulang kepada pemilik hati untuk menilainya.
‘The Beginning Is the End Is the Beginning’
Saya pernah mengatakan dengan bangga, ”Let my first love would be the last!” pada teman-teman, dan bertahun selepas itu I’d eat my words. Jika saya boleh gunakan mesin rentas masa, saya akan kembali ke situ dan berguling-guling ketawa mendengar ayat-ayat tersebut. Agaknya cinta suci ala-ala Fairy Tales banyak mempengaruh, dan tatkala itu persepsi Cinta Pertama adalah seperti surat beranak, tidak boleh diubah-ubah. Rupanya bukan, ia kadang-kadang boleh menjadi visa atau passport!
Adalah anugerah bila Cinta Pertama menjadi Cinta Terakhir menjadi Jodoh. Teman lama, Az, membuktikan Cinta Pertama dirinya adalah Jodoh, bila kekal dan segar dalam hubungan Cinta dari sekolah seterusnya kampus lalu alam kerja. Walau awal dikekang amaran bapa (Budak belajar tidak boleh bercinta! Kerja dahulu baru berkahwin!) dan diuji-uji pihak ketiga, mereka melaluinya sejahtera, dan doa dari saya sentiasa.
Saf pula, anak yang patuh, penuh dedikasi pada ilmu dan kerjaya perundangan tidak pernah menemukan Cinta Pertama sebelum ini. Dibesar sebagai ‘warga Koleq’ sekolah lelaki, dan dirinya yang diakui pemalu di kampus membuatkan Cinta adalah asing dan jauh. Jadi, bila saja menerima kad kahwin bulan lalu, saya batalkan urusan di Korea untuk ke Sungai Dua semata-mata mahu melihat bagaimana, dalam dunia millenium dan sejarah jejaka ini yang memiliki segala, bermula hidup dengan Cinta Pertama melalui pilihan keluarga. Saya tidak menentang atau hairan, tapi terlalu kagum bagaimana hidup mudah dan ‘tidak memilih’ itu kekal dalam dirinya, walau diasak satu waktu “macam mana rasa bercinta?”. Akhirnya Cinta Pertama itu hadir sebagai jodoh, dan membuatkan saya percaya, Cinta Pertama ini akan wujud (malah lebih indah) jika kita kembali ke alam kanak-kanak tanpa harapan dan kayu ukur, didorong restu dan patuh. Alangkah manis!
Saya tiada statistik di sini, tetapi lebih dari separuh teman lama saya tidak kekal dengan pasangan Cinta Pertama. Malah, bukan juga kedua atau ketiga, keempat! Pasti, Cinta Pertama ini boleh berkembang beza antara manusia lain, dan tuah adalah bagi mereka yang membajaknya menjadi Jodoh. Banyak lagi cerita yang dikutip, tetapi di sini biarlah kita percaya, tiada jaminan dalam Cinta tetapi Tuhan sentiasa membantu kerana Dia Lebih Tahu, dan banyak ekspektasi itu sangat kejam kadangkala.
“One Always Returns to One’s First Love” (Peribahasa Ukraine)
Bagi J, Cinta Pertamanya muncul semula dalam episode AF3. Felix, sangat seiras wajah bfnya lewat satu waktu. Lelaki pertama yang menggegar jiwanya. Kini ‘Jejaka Jawa’ itu kembali saban minggu. Diri J dihambat rasa keliru adakah Felix atau Mawi yang patut dipilih? Oh, hanya kerana wajah itu…
Peribadi, Cinta Pertama saya muncul kembali satu hari dalam sampul surat cantik. Dalamnya, sebuah kad cantik dengan gambar seseorang (dan seorang lagi) yang amat saya kenal. Rupanya dia masih sudi menghantar kad kahwin, mahu berkongsi gembira, dan saya tidak fikirkan niat lain walau terlintas beberapa. Sudah setahun, saya masih memikirkan bahawa adakah patut saya mengucap tahniah atau berdiam saja (sedang saya mahu melakukakan kedua-duanya?!).
Lagi, saya melihat bagaimana Cinta Pertama ini terus memburu. Ada kisah benar yang saya kutip baru-baru ini. Seorang lelaki, dalam awal 60-an dan baru kematian isteri, merisik cinta pertamanya kembali, gadis cantik yang pertama dipuja kira-kira 40 tahun dahulu yang kini seorang wanita, dan membuat saya bertanya banyak soalan yang saya akui, tiada jawabannya.
Ramai orang telah lama melangkah jauh, cuma kadangkala tersadung kejutan kenangan yang muncul entah dari mana. Ada apa dengan cinta pertama ini yang amat ‘berhantu’, malah boleh saja menjadi asyik atau serentak mengganggu, lalu berhibernasi sehingga ajal? Mungkin kita selalu took for granted sesuatu yang kita miliki, sehinggalah kita kehilangannya, bukan? Mungkin rasa TIDAK MEMILIKI, atau puas hati dan diri tanpa mengetahui ENDING, amat menguji jiwa.“You forget what you got, BUT NOT what you’ve thought you got.” Atau ia sekadar sifat semulajadi manusia yang tamak? Mungkin itulah jawapan kenapa Cinta Pertama hadir segar dan menguji. Bukan sangat kerana ‘keagungannya’. Hakikat, banyak kejutan akan hadir sebagai ujian dan pintu kenangan, yang sebagai manusia, kita boleh membukanya seketika, tersenyum sendiri tetapi jangan sesekali biarakan orang lain melihat senyuman anda itu…
Cinta Pertama bukan agung, tetapi suci. Naif. Mengilmukan. Cerita jaya atau duka. Harapan yang sebenarnya kenangan. Itu saja…
Teks: HAFEZIN KHADIRI