MALAYSIA
“Cold violence” musnahkan rumah tangga secara senyap

Layanan senyap lebih bertumpu pada menahan komunikasi secara lisan dan sosial, sering menjadi satu daripada taktik dalam penderaan emosi namun niat dan tahap keterukannya boleh berbeza-beza. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pendedahan bekas isteri seorang pelakon terkenal era 1990-an tentang cold violence atau terjemahan harfiah "keganasan dingin", sebagai punca keruntuhan rumah tangga mereka beberapa bulan lepas, mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat.
Yang biasa didengari sebelum ini ialah penderaan fizikal sebagai antara punca utama terlerai ikatan perkahwinan.
Justeru, pendedahan wanita itu membuka mata masyarakat tentang keganasan emosi secara halus yang mungkin dipandang ringan selama ini.
Realitinya, kata pakar, penderaan berbentuk bukan fizikal itu meninggalkan kesan mendalam pada mangsa, dan lebih parah lagi jika dialami tanpa disedari oleh mereka, sekali gus terlepas peluang untuk membaiki keadaan ataupun mendapatkan bantuan.Definisi "cold violence"
Mengulas maksud "cold violence" dalam konteks rumah tangga, pakar psikiatri dan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rozanizam Zakaria berkata, istilah itu merujuk satu bentuk penderaan emosi dengan satu pihak menarik diri sepenuhnya daripada sebarang bentuk komunikasi atau sokongan, sama ada secara lisan, fizikal (perbuatan) atau kewangan terhadap pasangannya.
Jelas beliau, perbuatan itu dilakukan sama ada bagi menghukum, mengawal atau memaksa kepatuhan pasangan agar menuruti kehendak si pelaku.
"Secara umum, keganasan dingin ialah taktik penderaan emosi dalam hubungan intim atau hubungan penjagaan menggunakan penarikan diri emosi secara strategik untuk menghukum atau mengehadkan kebebasan orang lain.
"Perbuatan ini sukar dikesan kerana tidak meninggalkan kesan fizikal tetapi memberi impak yang besar kepada kesihatan mental dan hubungan seseorang. Kerosakan psikologi yang dicetuskan oleh tindakan ini termasuk membuatkan mangsa berasa seolah-olah tidak wujud dan mengalami tekanan emosi yang teruk," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bentuk penderaan itu juga, katanya, sukar dikesan dan dibuktikan, sekali gus membuka ruang luas kepada si pelaku untuk menafikan kesalahan yang dibuat.
"Pelaku boleh menafikan kerana tidak ada perbuatan jelas yang dilakukannya, dan sistem budaya atau undang-undang mungkin tidak mengiktiraf tingkah laku ini sebagai penderaan, menyebabkan mangsa tidak mendapat perlindungan atau sokongan rasmi.
"Gabungan faktor-faktor ini menjadikan keganasan dingin sebagai satu bentuk penderaan yang licik, tersembunyi, berbahaya serta sukar dikenal pasti dan ditangani," katanya.
Ditanya perbezaan antara "silent treatment" (layanan senyap) dengan keganasan dingin, Rozanizam berkata, keganasan dingin bersifat lebih menyeluruh dan berterusan serta penarikan diri sepenuhnya daripada hubungan emosi dan komunikasi merangkumi pelbagai aspek.
"Layanan senyap pula lebih bertumpu pada menahan komunikasi secara lisan dan sosial, sering menjadi satu daripada taktik dalam penderaan emosi namun niat dan tahap keterukannya boleh berbeza-beza.
"Keganasan dingin menekankan kawalan melalui pengasingan dan hukuman yang disengajakan manakala layanan senyap kadangkala berlaku kerana beban emosi atau usaha mengelakkan konflik. Namun apabila digunakan secara mendera ia berkongsi niat yang sama, iaitu untuk mengawal dan menyakiti," katanya.
Beliau berkata, keganasan dingin diiktiraf dalam bidang psikologi sebagai satu bentuk penderaan emosi dalam rumah tangga khususnya dalam sesetengah konteks budaya, manakala layanan senyap lebih kerap dilihat sebagai bentuk penderaan emosi pasif-agresif dan pengasingan sosial.
Siapa lebih cenderung?
Ditanya sama ada lelaki atau wanita yang lebih berpotensi menjadi pelaku, Rozanizam berkata, sesiapa sahaja boleh melakukannya, namun pola menunjukkan ia sering digunakan oleh individu yang mahu mengekalkan kawalan atau bertindak balas terhadap ancaman yang dia rasakan terhadap kuasanya atau status hubungan mereka.
"Lelaki dan wanita boleh berkelakuan sedemikian walaupun dalam sesetengah budaya ia lebih kerap dilakukan oleh lelaki. Pelaku sering didorong oleh masalah mengawal emosi, kesukaran berkomunikasi, kemarahan yang tidak diselesaikan, rasa cemburu atau keinginan membalas dendam.
"Mereka yang berasa terancam oleh tingkah laku pasangan atau mempunyai sifat mengawal dan posesif lebih cenderung menggunakan keganasan dingin," katanya.
Ditanya sama ada pelaku sedar bahawa tingkah laku mereka satu bentuk keganasan, Rozanizam berkata, pelaku kategori ini biasanya tidak menyedari sepenuhnya atau tidak mengaku bahawa mereka sedang melakukan kesalahan atau penderaan.
"Bentuk penderaan emosi ini melibatkan penarikan diri secara strategik daripada komunikasi dan sokongan yang boleh berlaku secara halus dan sukar dikenal pasti termasuk oleh individu yang melakukannya sendiri.
"Ramai pelaku, terutamanya dalam peranan sebagai penjaga atau ahli keluarga, mungkin melihat tingkah laku mereka sebagai akibat daripada tekanan, kekangan sumber atau rasa kecewa, bukannya penderaan yang disengajakan. Mereka mungkin mewajarkan perbuatan itu sebagai hukuman, cara untuk mengawal atau mempengaruhi orang lain," katanya.
Beliau berkata, kajian menunjukkan pelaku keganasan dingin sering mengekalkan aspek "plausible deniability" iaitu menafikan tanggungjawab atau menyangkal mereka sedar akan perbuatan mereka.
"Dengan kata lain, pelaku boleh menafikan perbuatan salah dengan alasan mereka 'tidak melakukan' sesuatu yang berbahaya. Dalam konteks sesetengah budaya, seperti dalam keluarga atau penjagaan warga emas, pelaku mungkin tidak sepenuhnya menyedari bahawa penarikan diri dan pengabaian mereka sebenarnya merupakan penderaan emosi.
"Secara keseluruhannya, ketiadaan tanda yang jelas serta rasionalisasi atau ketidakpekaan emosi pelaku menyumbang kepada rendahnya pengiktirafan dalam kalangan pelaku bahawa keganasan dingin satu kesalahan," katanya.
Kesan psikologi
Sekalipun mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal secara langsung, "kecederaan emosi" yang ditanggung berisiko mendorong mangsa mencederakan diri sendiri, kata Rozanizam.
"Kesan jangka pendek termasuk menyebabkan mangsa meragui diri sendiri, sementara dalam jangka panjang pula mangsa akan mengalami gangguan kesihatan mental termasuk gangguan kemurungan major, gangguan kebimbangan menyeluruh (GAD) dan gangguan tekanan pascatrauma (PTSD), harga diri yang menurun dan rasa tidak berdaya secara kronik.
"Selain itu, mangsa keganasan dingin berpotensi mengalami gangguan personaliti atau gejala psikiatri lain akibat penderaan yang berpanjangan. Mereka juga berdepan risiko peningkatan pemikiran bunuh diri, mencederakan diri sendiri dan gangguan penggunaan bahan terlarang," katanya.
Beliau berkata, antara gejala yang ditunjukkan oleh mangsa ialah semakin kurang berkomunikasi, menunjukkan sikap lebih patuh selain insomnia dan sukar tumpukan perhatian.
Disebabkan oleh ketiadaan kesan fizikal, usaha mengenal pasti mangsa bergantung sepenuhnya pada pemerhatian terhadap tanda-tanda psikologi dan sosial tersebut, jelasnya.
Rozanizam berkata, bagi mencegah kemudaratan akibat keganasan dingin, mangsa perlu terlebih dahulu menyedari bahawa penderaan berkenaan bukan disebabkan oleh salah mereka, dan menetapkan sempadan yang jelas dengan pelaku.
"Penting untuk mendapatkan sokongan daripada rakan, keluarga supaya mereka tidak berasa sendirian. Menjaga diri melalui aktiviti yang disukai dan mendapatkan bantuan daripada ahli terapi juga dapat membantu proses penyembuhan ," katanya.
Dalam pada itu Rozanizam berkata, pelaku boleh berubah menerusi terapi seperti terapi tingkah laku kognitif dan terapi pasangan/perkahwinan, namun syarat penting ialah kesediaan pasangan untuk bekerjasama dalam proses terapi.
Undang-undang dan hak
Dari sudut undang-undang pula, peguam syarie Muhammad Shafiq Ibrahim berkata, secara istilahnya keganasan dingin merujuk keadaan emosi/psikologi yang pasif tanpa melibatkan perbuatan fizikal, sebaliknya pengabaian emosi yang mendalam seperti enggan bercakap walaupun tinggal serumah, menjauhkan diri secara fizikal dan emosi.
Katanya keganasan dingin turut memperlihatkan individu terbabit enggan berkongsi masa bersama-sama dengan pasangan dan/atau bersikap dingin/sindiran berterusan yang merendahkan harga diri pasangan, dengan kesannya ialah konflik berpanjangan tanpa penjelasan secara telus dan nyata.
Tegas peguam itu walaupun keganasan dingin bukan istilah rasmi dalam akta, perbuatan itu terangkum dalam definisi dan takrifan lebih luas di Malaysia.
"Menurut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521), Seksyen 2, 'keganasan rumah tangga' bererti pelakuan yang menyebabkan penderaan psikologi termasuk kecederaan emosi kepada mangsa oleh seseorang, sama ada dengan sendiri atau melalui pihak ketiga terhadap isteri atau suaminya, bekas isteri atau bekas suaminya," katanya.
Di bawah Kanun Keseksaan, Muhammad Shafiq berkata, Seksyen 326A memperuntukkan hukuman bagi kecederaan kepada ahli keluarga (termasuk psikologi).
"Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303), Seksyen 52 (1) (d) (h) (i): Perintah Pembubaran Perkahwinan atau Fasakh.
"Antara alasan utama ialah tidak menunaikan kewajipan nikah (nafkah batin) tanpa alasan munasabah, perlakuan aniaya oleh suami menyebabkan penderitaan emosi, empat bulan tanpa persetubuhan kerana sengaja enggan dan/atau alasan lain yang diiktiraf menurut hukum syarak, yang memberi ruang kepada tindakan/keadaan/perbuatan yang boleh memberikan dharar atau masalah kepada perkahwinan.
"Oleh itu, cold violence memang diakui satu bentuk keganasan emosi dalam konteks rumah tangga, dan walaupun istilah tersebut tidak disebut secara eksplisit dalam undang-undang Malaysia, mangsa dilindungi melalui definisi penderaan emosi dan psikologi dalam undang-undang negara ini," jelasnya.
Ringkasnya, biarpun keganasan dingin tidak wujud secara literal dalam mana-mana akta di Malaysia, bentuk perlakuan itu diiktiraf sebagai sebahagian daripada keganasan rumah tangga di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) dan Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang boleh menjadi alasan sah untuk permohonan fasakh di mahkamah syariah.
"Undang-undang mendefinisikan sepertimana Seksyen 2 Akta 521, keganasan rumah tangga bukan sahaja merangkumi penderaan fizikal tetapi juga boleh ditafsirkan maksud tingkah laku seperti pengabaian emosi berpanjangan dan mengasingkan pasangan secara sengaja (silent treatment).
"Sindiran atau penghinaan berulang yang menjatuhkan maruah, menghalang komunikasi atau hubungan intim tanpa alasan munasabah juga boleh dikategorikan sebagai penderaan psikologi," katanya.
Sukar dibuktikan
Tidak dinafikan apabila melalui proses mahkamah bagi beban pembuktian, keganasan dingin lebih mencabar untuk dibuktikan berbanding keganasan fizikal.
Pengamal undang-undang itu berkata, ia berikutan tiada kesan fizikal yang jelas seperti kesan lebam, luka atau rekod perubatan kecederaan yang boleh digunakan sebagai bukti segera.
"Perbuatan berbentuk pasif contohnya seperti diam berpanjangan atau pengabaian komunikasi amat susah dibuktikan tanpa corak tingkah laku yang konsisten. Bukti bergantung pada persepsi mangsa dan penderaan emosi bergantung pada kesan psikologi yang dialami mangsa yang sukar diukur secara objektif.
"Beban bukti yang berat di mahkamah memerlukan perbuatan itu berterusan, disengajakan dan memberi kesan nyata pada kesihatan mental. Akan tetapi, walaupun sukar tidak mustahil jika mangsa mengumpulkan bukti tepat. Antaranya menyediakan laporan psikiatri/psikologi yang mengesahkan kesan tekanan emosi, kemurungan atau trauma akibat perbuatan pasangan," katanya.
Selain itu mangsa juga boleh merekodkan komunikasi seperti mesej, e-mel atau nota yang menunjukkan pengabaian, penghinaan atau penolakan interaksi selain catatan peribadi yang mempunyai catatan tarikh dan butiran kejadian untuk menunjukkan corak berulang.
"Kesan perundangan bagi keganasan dingin boleh juga membawa kepada Perintah Perlindungan jika dibuktikan kesan psikologi itu wujud. Dari sudut syariah pula, fasakh atau taklik boleh diluluskan atas sebab jika terbukti kemudaratan emosi yang serius atau pengabaian nafkah batin.
"Bagi keganasan fizikal, ia boleh dibawa kepada pendakwaan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan/atau Perintah Perlindungan jika terbukti berlakunya keganasan tersebut," katanya.
Muhammad Shafiq berkata, apa sahaja bentuk keganasan, sama ada dingin atau fizikal, kedua-duanya tetap sah di sisi undang-undang sebagai keganasan rumah tangga dan boleh menjadi asas perlindungan atau perceraian.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami