Negeri-negeri lain patut mencontohi Johor dalam membangun dan mengurus tanah wakaf mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata ini kerana Johor mempunyai pelbagai produk daripada pembangunan sehingga tidak dinafikan ia sebagai sebuah negeri yang menerajui jihad ekonomi.

Katanya antara produk yang paling nyata ialah rancangan pembinaan ruang niaga lima tingkat dan pusat dialisis di tanah wakaf Masjid Kota Tinggi, dekat sini serta pembangunan Francais Wakaf Mart di tapak wakaf Masjid Taman Perling.

"Kalau sebut soal wakaf hemodialisis contohnya, Johor adalah antara yang orang ramai maklum sangat-sangat, daripada utara hingga ke selatan.

"Atas sebab itu, saya sebutkan ini antara faktor-faktor yang boleh dipelajari negeri-negeri lain bahkan negara-negara lain yang turut mengamalkan wakaf," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Wakaf Antarabangsa Johor 2016 selama dua hari bermula hari ini di Pusat Konvesyen Antarabangsa Johor (Persada), di sini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri Abd Mutalip Abd Rahim.

Jamil Khir berkata kerajaan pusat juga mengkagumi kerjasama erat ditampilkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta agensi-agensi kerajaan negeri lain dalam mengungguli pengurusan tanah-tanah wakaf bagi perancangan pendidikan agama di negeri ini.

Sehingga hari ini, terdapat kira-kira 556 sekolah agama ditubuhkan di Johor untuk manfaat lebih daripada 250,000 murid.

Menurut beliau, berikutan keperluan semasa, MAINJ juga sedang rancak menjalankan pembinaan 120 sekolah agama lagi.

Sementara itu, Mohamed Khaled menyifatkan sudah tiba masanya semua pihak meneroka wakaf sebagai satu model Islam bagi membangunkan potensi Malaysia.

"Selama ini, kita selalu menjadikan pelan tindakan modenisasi Barat, Eropah dan Timur sebagai sandaran untuk Malaysia membangun dan maju sehingga terlupa dan terlepas pandang keupayaan sendiri," kata beliau.

Beliau amat yakin wakaf adalah satu daripada cara dan model yang harus diberi perhatian serius demi membangunkan Malaysia, sekaligus tidak memberi beban kepada kerajaan yang terbatas kemampuannya.

"Percayalah, wakaf bukan sekadar pemberian abadi untuk mendapat reda Allah. Ia juga demi kebaikan dan manfaat manusiawi dan sesungguhnya reda serta rahmat Tuhan itu hanya akan turun menghujani kita saat kita bermurah hati dan menabur manfaat kepada orang lain," kata Mohamed Khaled.

-- BERNAMA